Ronaldo menangis Al-Nassr gagal julang trofi

Ronaldo menangis Al-Nassr gagal julang trofi

Cristiano Ronaldo kecewa Al-Nassr gagal menjadi juara Kejohanan Liga Juara-Juara Asia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Cristiano Ronaldo menangis selepas Al-Nassr sekali lagi gagal menjulang trofi menyaksikan kemarau kejuaraan bintang Portugal itu di Arab Saudi berterusan.

Ronaldo, 41, menyertai kelab gergasi Saudi itu pada 2023 selepas meninggalkan Manchester United dan setakat ini hanya memenangi Piala Kelab Juara-Juara Arab, trofi yang tidak diiktiraf FIFA.

Pemenang lima kali Ballon d’Or itu berharap dapat menamatkan penantian trofi pada final Liga Juara-Juara AFC 2 menentang Gamba Osaka di Riyadh, Sabtu lalu namun hasratnya tidak kesampaian apabila Osaka menang 1-0 hasil jaringan Deniz Hummet.

Kamera televisyen kemudian merakam Ronaldo menangis di bangku simpanan sejurus tamat perlawanan.

Sepanjang berada di Arab Saudi, Ronaldo dilaporkan sudah memperoleh kira-kira 520 juta pound (RM3 bilion) tanpa cukai.

Dia pada awalnya menandatangani kontrak bernilai 177 juta pound (RM1 bilion) setahun sebelum menerima lanjutan kontrak bernilai 4.7 juta pound seminggu (RM27 juta).

Apabila dicampur dengan bayaran menandatangani kontrak sebanyak 24.5 juta pound (RM141 juta) dan pegangan ekuiti kelab bernilai 33 juta pound (RM190 juta), jumlah pendapatan bola sepak Ronaldo di Arab Saudi melepasi 520 juta pound (RM3 bilion).

Bekas penyerang United itu sememangnya terkenal dengan reaksi emosinya selepas keputusan buruk sepanjang karier gemilang 24 tahun dan kali ini, Ronaldo juga dilaporkan enggan mengetuai pasukan menerima pingat perak selepas perlawanan. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN