MUGELLO: Gresini Ducati mengesahkan pelumba ujian Michele Pirro akan menggantikan Alex Marquez pada aksi Grand Prix (GP) Itali hujung minggu ini selepas pelumba Sepanyol itu mengalami kecederaan serius di Catalunya.
Marquez disahkan terlepas dua pusingan berturut-turut di Mugello dan Balaton Park selepas mengalami kecederaan tulang selangka serta vertebra susulan kemalangan besar ketika perlumbaan di Catalunya.
Mengikut peraturan MotoGP, setiap pasukan diwajibkan mencari pengganti dalam tempoh 10 hari selepas seseorang pelumba menarik diri daripada perlumbaan akibat kecederaan.
Pirro sebelum ini turut dipanggil membantu Gresini pada pusingan pembukaan musim di Thailand bagi menggantikan Fermin Aldeguer yang ketika itu masih belum pulih daripada kecederaan kaki.
Pada perlumbaan di Buriram itu, pelumba Itali berusia 39 tahun berkenaan sekadar menamatkan perlumbaan di kelompok belakang selepas bergelut menyesuaikan diri dengan jentera satelit Ducati GP25.
Bagaimanapun kali ini Pirro bakal mendapat peluang lebih menarik apabila akan menunggang jentera GP26 milik Marquez yang sebelum ini pernah menghadiahkan kemenangan di Jerez.
Pengalaman luas Pirro di Mugello juga dijangka memberi sedikit kelebihan buat Gresini memandangkan dia cukup sinonim dengan litar tersebut menerusi tugasnya sebagai pelumba ujian Ducati sejak sekian lama.
Dalam perkembangan sama, Johann Zarco turut disahkan tidak akan beraksi di Mugello selepas mengalami kecederaan di Catalunya namun LCR Honda masih belum mengumumkan penggantinya. – AGENSI/UTUSAN










