Perlu masa capai standard Pearly-Thinaah

Perlu masa capai standard Pearly-Thinaah

Rexy Mainaky
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masa depan beregu wanita berada di landasan biarpun pasangan sedia ada belum setanding gandingan No.1 negara, Pearly Tan- M. Thinaah.

Perkara itu diakui Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky selepas perjuangan skuad negara di Piala Uber berakhir kelmarin.

Rexy menegaskan pencapaian mara ke suku akhir Piala Uber sudah memenuhi sasaran dengan mengambil kira majoriti pemain adalah dalam kelompok usia muda.

Katanya, aksi tanpa beban ketika menentang pasukan gergasi dunia, China membuktikan pemain negara memiliki asas kemampuan untuk bersaing di peringkat tertinggi.

“Terlalu awal untuk kita bercakap untuk mampu capai ke tahap Pearly-Thinaah dan kita tidak boleh melihat dengan satu kejohanan tetapi apa yang mereka sudah buat itu masih perlu kita terjemah dalam satu tahun ke depan ini terutamanya mental dan cara fikiran mereka.

“Kalau lihat dari cara bermain mereka memang ada kebolehan untuk sampai ke tahap itu, tetapi perlu masa lagi kerana banyak hal yang kita harus perbaiki dari mereka,” kata Rexy.

Rexy percaya dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan penambahbaikan aspek mental dan konsistensi, skuad muda negara mampu muncul sebagai pencabar lebih mantap di pentas dunia.

Malaysia tersingkir di suku akhir, kelmarin selepas tewas 0-3 kepada China, namun pemain perseorangan negara, K. Letshanaa tetap memberi tentangan sengit sebelum tunduk kepada pemain No. 2 dunia, Wang Zhi Yi 17-21, 18-21.

Beregu muda, Ong Xin Yee-Carmen Ting pula mencuri tumpuan apabila mengheret pasangan No. 1 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning ke set penentuan sebelum tewas 14-21, 21-16, 13-21.

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM, Kenneth Jonassen menyifatkan pengalaman menentang pemain bertaraf dunia serta perlawanan berintensiti tinggi memberi impak besar kepada perkembangan pemain.

“Saya fikir sepanjang kempen ini, dengan semangat berpasukan yang ditunjukkan serta kehadiran kapten berpengalaman seperti Thinaah, ramai pemain kita telah meraih banyak pengalaman bukan sahaja dari segi tahap permainan, tetapi juga bagaimana untuk menjadi lebih matang dalam membuat keputusan di gelanggang.

“Pengalaman seperti ini amat penting, terutamanya apabila berdepan tekanan dalam perlawanan yang perlu dimenangi kerana ia membantu membina ketahanan mental pemain untuk terus berkembang pada masa hadapan,” katanya.

Untuk rekod, skuad Uber negara memadam kemarau 16 tahun untuk mara ke suku akhir sejak 2010, sekali gus menjadikan pencapaian itu kekal tertinggi sejak kejohanan itu ditubuhkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN