DALAM era modenisasi yang semakin mencabar menyebabkan sistem pendidikan negara perlu bergerak seiring dengan perubahan zaman. Oleh itu, pihak berkepentingan wajar memperkenalkan subjek Pendidikan Ekonomi Dasar sebagai mata pelajaran elektif di peringkat menengah rendah.
Langkah ini penting untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki literasi kewangan yang kukuh bagi menghadapi realiti kehidupan yang semakin kompleks.
Antara sebab utama subjek ini perlu diperkenalkan ialah untuk memupuk kesedaran kewangan dalam kalangan remaja. Pada usia awal remaja, murid sudah mula mengurus wang saku sendiri.
Tanpa pengetahuan asas ekonomi, mereka mudah terjebak dalam tabiat berbelanja secara berlebihan dan tidak terancang.
Melalui Pendidikan Ekonomi Dasar, murid belajar mengurus kewangan dengan lebih bijak serta memahami perbezaan antara keperluan dan kehendak. Kesedaran ini membantu mereka membentuk disiplin diri dalam perbelanjaan harian.
Selain itu, subjek ini turut mengasah kemahiran berfikir secara kritis dan analitikal. Ilmu ekonomi tidak hanya bergantung kepada hafalan tetapi menuntut murid memahami situasi sebenar dalam kehidupan. Murid menganalisis isu seperti inflasi, kenaikan harga barang dan kuasa beli pengguna secara lebih rasional.
Mereka juga memahami konsep asas seperti permintaan dan penawaran yang mempengaruhi pasaran. Kemahiran ini membolehkan murid membuat keputusan yang lebih bijak dalam kehidupan seharian.
Di samping itu, pendedahan awal kepada pendidikan ekonomi menyediakan asas kukuh kepada murid yang berminat dalam bidang perniagaan, perakaunan dan pengurusan.
Dalam dunia ekonomi digital yang berkembang pesat, murid perlu memahami konsep transaksi dalam talian dan ekonomi gig. Pengetahuan ini membantu mereka menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran global serta memanfaatkan peluang ekonomi baharu yang muncul.
Namun begitu, keberkesanan pelaksanaan subjek ini bergantung kepada pendekatan pengajaran yang digunakan. Guru perlu menyampaikan kandungan secara interaktif dan praktikal supaya murid lebih mudah memahami konsep ekonomi. Aktiviti seperti simulasi perniagaan, permainan kewangan dan kajian kes harian dapat menjadikan pembelajaran lebih menarik dan bermakna. Pendekatan ini juga meningkatkan minat murid untuk mendalami ilmu ekonomi secara berterusan.
Kesimpulannya, pengenalan Pendidikan Ekonomi Dasar di peringkat menengah rendah merupakan satu langkah proaktif dalam membentuk generasi celik kewangan. Usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kementerian, sekolah dan ibu bapa. Dengan ilmu ekonomi yang kukuh, murid mampu mengurus kehidupan dengan lebih bijak dan menjadi aset penting kepada pembangunan negara pada masa hadapan.-UTUSAN
HARIZ IMAN HAIRULNIZAM
Kolej Matrikulasi Melaka










