PETALING JAYA: Kekalahan di laman sendiri bukan alasan untuk Selangor FC(SFC) mengibarkan bendera putih lebih awal, sebaliknya peluang untuk menjulang trofi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) masih terbuka.
Keyakinan itu dilaung pengendalinya, Kim Pan Gon menegaskan skuad Gergasi Merah masih memiliki peluang cerah untuk mencipta kebangkitan pada aksi timbal balik final di Thailand, Rabu ini.
Tewas 0-1 kepada Buriram United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin nyata mengecewakan kem tuan rumah, namun Pan Gon menegaskan masih terlalu awal untuk menganggap perjuangan Selangor sudah berakhir.
Tegas jurulatih dari Korea Selatan itu, baki 90 minit di Chang Arena, Buriram bakal menjadi medan sebenar menentukan siapa berhak menjulang trofi, apatah lagi dalam bola sepak apa sahaja boleh berubah dalam sekelip mata.
Malah, beliau menyeru anak buahnya menjadikan kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Buriram di laman lawan sebelum ini sebagai bukti bahawa tidak mustahil untuk menundukkan gergasi Thailand itu di gelanggang sendiri.
“Ya, kami kecewa kerana gagal memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri. Pada awal permainan kami agak bergelut dan terlalu banyak melakukan kesilapan sendiri.
“Tetapi ini belum tamat. Kami masih ada 90 minit lagi dan apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak. Kami mesti terus berdiri teguh, bangkit semula dan perbaiki kelemahan kami,” katanya selepas tamat perlawanan.
Walaupun gagal mengelak kekalahan di hadapan penyokong sendiri, Pan Gon tetap menemukan sisi positif dalam persembahan anak buahnya terutama peningkatan mendadak yang dipamerkan selepas rehat.
Selangor dilihat tampil lebih bertenaga dan berani mengambil risiko pada babak kedua dengan beberapa percubaan berbahaya berjaya dihasilkan untuk menguji benteng pertahanan Buriram.
“Buriram adalah pasukan berkualiti dan berada dalam kelompok lapan terbaik ACLE (Liga Juara-Juara Asia Elit), tetapi pada separuh masa kedua kami bermain jauh lebih baik.
“Kami mencipta peluang dan cuba mengambil risiko pada penghujung permainan dengan melakukan pertukaran pemain untuk memburu gol,” ujarnya.
Pan Gon optimis keberanian untuk bermain lebih menyerang serta mengekalkan intensiti seperti ditampilkan pada separuh masa kedua akan menjadi kunci utama jika Selangor mahu melengkapkan misi kebangkitan di bumi Thailand.
Pada aksi final pertama itu, jaringan tunggal Suphanat Mueanta pada minit ke-25 telah menghadiahkan Buriram kelebihan tipis menjelang aksi penentuan di Chang Arena, Rabu ini. – UTUSAN










