‘Pan Gon ubah mentaliti pemain Selangor’

‘Pan Gon ubah mentaliti pemain Selangor’

Faisal Halim percaya ketegasan Kim Pan Gon dan layanan sama rata terhadap semua pemain menjadi antara faktor utama kebangkitan Selangor musim ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sentuhan Kim Pan Gon bukan sekadar mengubah corak permainan Selangor FC (SFC), malah berjaya membentuk mentaliti baharu dalam kalangan pemain sehingga membawa Gergasi Merah kembali digeruni di pentas domestik dan Asia Tenggara.

Kapten Selangor, Faisal Halim berkata, pengendali dari Korea Selatan itu memainkan peranan besar dalam membina semula DNA pasukan sejak mengambil alih tugasan pada Januari lalu, terutama dari aspek disiplin, semangat juang dan kekuatan mental pemain.

Kehadiran bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu nyata memberi impak segera apabila Selangor hanya tewas sekali dalam 21 perlawanan di bawah kendaliannya, selain berjaya membawa skuad Gergasi Merah mara ke final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2025/26.

Menurut Faisal atau turut dikenali sebagai Mickey, Pan Gon memiliki pendekatan tersendiri dalam membimbing pemain apabila sentiasa menanam semangat untuk tidak mudah mengalah walaupun berdepan situasi sukar dalam perlawanan.

“Saya bersama jurulatih Kim (Pan Gon) dalam pasukan kebangsaan, sudah hampir tiga ke empat tahun bersama beliau. Begitu juga pemain lain yang mengenali watak atau karakter beliau dan apa yang beliau diinginkan.

“Beliau selalu tekankan jangan menyerah kerana dalam perlawanan kita ada 90 minit. Mungkin minit pertama atau minit 10 dibolosi, kami masih ada berbaki 80 minit untuk menterbalikkan keputusan bagi mendapatkan jaringan.

“Beliau tegaskan benda yang paling penting adalah bersatu dalam satu pasukan. Kalau kita bekerja satu pasukan, kita akan dapat hasil. Watak beliau apabila dalam padang sangat tegas dan serius.

“Tiada istilah ‘anda pemain simpanan, anda pemain utama’. Beliau melayan semua sama dan menghormati semua pemain. Apa yang beliau mahukan pemain kena tunjukkan,” katanya.

Faisal percaya ketegasan Pan Gon dan layanan sama rata terhadap semua pemain menjadi antara faktor utama kebangkitan Selangor musim ini, malah mewujudkan persaingan sihat dalam pasukan tanpa mengira status pemain utama atau simpanan.

Selangor kini hanya selangkah untuk mencipta sejarah apabila bakal berdepan penyandang juara, Buriram United dalam aksi final timbal balik ACC pada Rabu ini dan 27 Mei depan, dengan Gergasi Merah muncul satu-satunya pasukan yang masih belum tewas dalam kejohanan tersebut.

Mengulas mengenai impak kejohanan itu, Faisal mengakui ACC menjadi platform terbaik buat pemain tempatan meningkatkan tahap permainan apabila diberi peluang bersaing dengan kelab dan pemain import berkualiti dari rantau Asia Tenggara.

“Piala Shopee atau ACC ini memperkenalkan satu perlawanan yang berkualiti. Kami berlawan dengan pasukan yang kuat dan pemain import yang berkualiti. Kami sebagai pemain dapat menambah baik tahap permainan apabila bermain perlawanan yang intensiti tinggi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN