PETALING JAYA: Pahang menepati status selaku juara bertahan apabila mempertahankan kejuaraan Hoki Bawah 16 (B16) Kebangsaan selepas menundukkan Selangor 4-2 menerusi penentuan penalti shoot-out dalam aksi final penuh mendebarkan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Kejohanan yang pernah dimenangi Pahang pada 2022 itu kembali dianjurkan tahun ini selepas dihentikan seketika, sebelum pasukan itu sekali lagi membuktikan dominasi dalam kategori remaja.
Ketua jurulatih Pahang B16, Mohd Sufian Mohamad, menyifatkan aksi final sebagai pertembungan berkualiti tinggi apabila kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan yang seimbang dan bertenaga sepanjang perlawanan.
“Alhamdulillah kami berjaya menjuarai kejohanan ini. Secara keseluruhan saya sangat berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan pemain. Kedua-dua pasukan menunjukkan aksi yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata, fokus pasukan selepas ini adalah untuk terus memperkukuh pembangunan pemain muda dengan menyertai Liga Remaja yang dijadual bermula Jun ini, selain menyasarkan penyertaan dalam MSSM pada September depan.
Menurutnya, skuad B16 ini merupakan projek jangka panjang yang dibentuk sejak 2023 di Akademi Hoki Pahang, Sekolah Sukan Negeri Pahang, dengan sasaran utama melahirkan pemain pelapis untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2030.
“Kami membina pasukan ini sebagai projek jangka panjang. Mereka adalah kumpulan pemain yang disasar untuk SUKMA 2030,” jelasnya.
Kejayaan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Pahang sebagai antara kuasa besar dalam pembangunan hoki peringkat remaja negara. – UTUSAN










