MANCHESTER: Kapten Manchester United, Bruno Fernandes percaya kelab itu akan bangkit lebih kuat pada musim depan selepas perubahan besar dibawa pengurus sementara, Michael Carrick.
Kelmarin, United melakar kemenangan 3-2 ke atas Nottingham Forest dalam aksi terakhir di Old Trafford dan lebih manis Fernandes berjaya menyamai rekod 20 bantuan gol di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pemain tengah Portugal itu menyamai rekod milik Thierry Henry pada musim 2002/2003 dan Kevin De Bruyne (2019/2020) selepas hantaran silangnya disudahkan Bryan Mbeumo untuk gol ketiga United.
“Semua orang tahu rekod bantuan gol itu penting. Mereka cuba sedaya upaya menjaringkan gol daripada hantaran saya. Saya sangat gembira, tetapi lebih penting kami menang.
“Saya lebih mahukan trofi berpasukan daripada apa sahaja dan musim depan pastinya akan tiba sesuatu yang hebat. Tetapi saya hargai apabila orang fikir saya layak jadi Pemain Terbaik Musim Ini.
“Saya sudah capai 20 bantuan gol hari ini, kita lihat sama ada saya boleh pecahkan rekod dalam perlawanan terakhir nanti (menentang Brighton pada Ahad),” kata Fernandes selepas perlawanan.
Kemenangan ke atas Forest menjadikan United mencatat 11 kemenangan daripada 16 perlawanan liga sejak Carrick mengambil alih pada Januari lalu selepas pemecatan Ruben Amorim.
Sementara itu, Carrick menjangkakan masa depannya bersama kelab itu akan diketahui minggu ini ketika beliau dilaporkan semakin hampir menandatangani kontrak selama dua tahun untuk kekal di Old Trafford. – AGENSI/UTUSAN










