Letshanaa wakil tunggal perseorangan ke suku akhir

Malaysia Masters: Letshanaa muncul wakil tunggal perseorangan ke suku akhir

K. Letshanaa ketika meraikan kejayaan menewaskan pemain Jepun, Tomoka Miyazaki pada aksi pusingan kedua Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, hari ini. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: K. Letshanaa muncul benteng terakhir cabaran perseorangan Malaysia di Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 selepas mencipta sensasi menyingkirkan pemain No. 9 dunia dari Jepun, Tomoka Miyazaki untuk mara ke suku akhir di Unifi Arena, Bukit Jalil hari ini.

Pemain ranking ke-32 dunia itu mempamerkan aksi cukup matang apabila menundukkan Miyazaki 21-15, 21-17 dalam tempoh 45 minit sekali gus menghadiahkan kemenangan pertamanya ke atas pemain kelompok 10 terbaik dunia.

Kejayaan tersebut turut menyaksikan Letshanaa menjadi satu-satunya wakil perseorangan negara yang masih bertahan selepas Goh Jin Wei tersingkir pada pusingan kedua hari ini.

Menurut Letshanaa, kemenangan ke atas Miyazaki dianggap sebagai satu lagi titik kebangkitan penting dalam kariernya selepas mula menunjukkan peningkatan konsisten sejak awal musim ini.

“Saya rasa ini satu lagi pencapaian besar untuk diri saya dan juga perseorangan wanita negara.

“Saya tidak mahu membandingkan diri dengan rakan sepasukan lain kerana sasaran utama saya adalah bersaing dengan pemain-pemain terbaik dunia,” kata Letshanaa kepada pemberita di sini, hari ini.

Pemain berusia 23 tahun itu itu berkata, perubahan terbesar yang membantunya ketika ini ialah keyakinan diri selain mentaliti lebih berani ketika menentang pemain terbaik dunia.

“Saya percaya perubahan paling besar sekarang adalah keyakinan dan cara pemikiran ketika menentang pemain-pemain ternama.

“Apabila saya mula percaya dengan kemampuan sendiri dan bermain dengan mentaliti yang betul, ia membantu saya terus meningkat,” katanya.

Sementara itu, Jin Wei gagal meneruskan momentum kemenangan mengejut ke atas pemain Thailand, Busanan Ongbamrungphan, semalam selepas tumpas straight set 13-21, 16-21 kepada wakil India, Ashmita Chaliha dalam masa 27 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN