PETALING JAYA: Beregu muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai mencipta kejutan ke atas gandingan No. 7 dunia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Singapura di Kallang, Singapura, hari ini.
Khai Xing-Aaron yang menghuni ranking ke-27 dunia membenam cabaran beregu handalan Indonesia itu 21-19, 21-17 dalam masa 38 minit.
Kemenangan tersebut membolehkan Khai Xing-Aaron menebus kekalahan mereka kepada lawan yang sama sewaktu Terbuka Macau, tahun lalu dan kedua-dua beregu itu kini terikat dengan rekod pertemuan 1-1.
Ini merupakan kali pertama Aaron-Khai Xing mara ke suku akhir pada kejohanan berstandard Super 750.
Pada suku akhir, esok, beregu bimbingan ketua jurulatih, Herry Iman Pierngadi itu bakal berdepan sama ada pasangan No. 4 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty atau gandingan ke-16 dunia, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan.
Jika, Rankireddy-Shetty yang menjadi pencabar mereka, maka, gandingan muda itu memiliki sokongan psikologi selepas mengejutkan beregu handalan India tersebut pada pusingan pertama All England, Mac lalu.
Seandainya pasangan Taiwan itu pula menjadi lawan Khai Xing-Aaron, tiada rekod pertemuan membabitkan kedua-dua beregu dalam mana-mana kejohanan antarabangsa sebelum ini. – UTUSAN










