ASIA2026 promosi Malaysia secara digital

ASIA2026 promosi Malaysia secara digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia bakal menjadi tumpuan dunia menerusi penganjuran All Star Influencers Award (ASIA) 2026 yang kembali pada tahun ini dengan skala lebih besar, lebih berpengaruh serta lebih bersifat antarabangsa.

Penganjuran pada kali ini bakal menghimpunkan lebih 100 pempengaruh dari lebih 20 buah negara dalam sebuah jelajah promosi pelancongan digital merentasi Malaysia selama tujuh bulan.

Malaysia dipilih sebagai fokus utama kerana memiliki keunikan yang lengkap daripada kepelbagaian budaya, makanan, alam semula jadi, pulau, bandar moden sehingga pengalaman komuniti yang autentik.

Inisiatif ini sekaligus membuka peluang lebih luas untuk memperkenalkan Malaysia kepada masyarakat global melalui kandungan digital yang lebih meluas dan berimpak tinggi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ASIA, Datuk Abd Rahman Soltan, penganjuran kali ini membawa misi lebih besar dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan serta industri kreatif digital di rantau Asia.

“Pengaruh media sosial hari ini memainkan peranan sangat besar dalam menentukan trend pelancongan global. Apa yang dipaparkan oleh pencipta kandungan mampu memberi inspirasi kepada jutaan orang untuk mengenali sesebuah negara, budaya dan destinasi baharu.

“Jadi, ASIA2026 hadir dengan visi yang jauh lebih besar serta menyeluruh di mana kami mahu menjadikan platform ini sebagai jambatan bagi menghubungkan dunia digital dengan sektor pelancongan secara lebih efektif dan berimpak tinggi,” ujarnya.

Program berprestij itu dianjurkan dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) serta Tourism Malaysia selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) menerusi pendekatan promosi digital moden yang lebih dekat dengan generasi global masa kini.

Kerjasama strategik bersama Motac dan Tourism Malaysia menjadi langkah penting dalam memastikan kempen promosi tersebut mampu memberi impak jangka panjang terhadap industri pelancongan negara.

Sepanjang tempoh tujuh bulan pelaksanaan, delegasi pempengaruh lokal dan antarabangsa akan menjelajah ke beberapa negeri terpilih antaranya Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Sabah, Pulau Pinang, Kedah dan Melaka.

Angkat Budaya dan Destinasi Tempatan

Setiap destinasi bakal mengetengahkan pengalaman unik melibatkan budaya, warisan, makanan tradisional, gaya hidup tempatan, seni kreatif, aktiviti komuniti serta lokasi ikonik yang akan dipromosikan secara langsung kepada jutaan pengikut di seluruh dunia.

Malah, akan menampilkan juga pelbagai aktiviti sepanjang jelajah termasuk sesi komuniti, program kebudayaan, lawatan media, kolaborasi kandungan digital, persembahan khas dan aktiviti bersama peminat.

Pendekatan tersebut bukan sahaja memberi pendedahan kepada lokasi terkenal malah ia turut memberi ruang bagi mempromosikan destinasi baharu serta produk pelancongan tempatan yang berpotensi tinggi untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Malam kemuncak ASIA2026 dijadual berlangsung pada November depan dalam sebuah acara eksklusif bertaraf antarabangsa serta menjadi simbol penghargaan kepada pencipta kandungan yang berjaya memberi impak besar selain memainkan peranan penting dalam mempromosikan pelancongan dan budaya menerusi platform media sosial masing-masing.

Pada 2025, ASIA2025 mencipta pencapaian terbesar setakat ini apabila merekodkan lebih 1.6 bilion capaian digital menerusi tanda pagar rasmi #AllStarInfluencersAward2025 di pelbagai platform media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN