Makin ramai penduduk dunia kelaparan akibat perang Iran

Makin ramai penduduk dunia kelaparan akibat perang Iran

RAKYAT Palestin beratur mendapatkan hidangan panas di dapur amal yang dikendalikan oleh Program Makanan Sedunia (WFP) di kem pelarian Nuseirat di Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Perang berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran memburukkan lagi krisis global lain sehingga menyebabkan jumlah penduduk dunia yang mengalami kelaparan meningkat, ketika pembiayaan bantuan makanan merosot secara mendadak.

Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) memaklumkan, 363 juta penduduk dunia kini berisiko mengalami kelaparan akut, dengan 45 juta daripadanya berpunca daripada konflik di Asia Barat serta kenaikan harga minyak susulan peperangan tersebut.

Peningkatan mendadak keperluan bantuan itu berlaku ketika pembiayaan global untuk WFP dipotong satu pertiga tahun lalu, dengan AS sebagai penderma terbesar mengurangkan sumbangannya lebih daripada separuh.

Pemangku Pengarah Eksekutif WFP, Carl Skau berkata, kekurangan dana memaksa organisasi itu mengurangkan program bantuan makanan bagi memberi tumpuan kepada kawasan yang berdepan kebuluran kritikal.

“Kami mengambil daripada mereka yang lapar untuk diberikan kepada mereka yang sedang kebuluran. Itulah realitinya,” katanya kepada The Guardian.

Menurut Skau, konflik bersenjata menjadi faktor utama peningkatan krisis makanan global, dengan dua kebuluran diisytiharkan pada 2025 masing-masing di Gaza dan Sudan.

Beliau berkata, keadaan di Gaza sedikit bertambah baik selepas gencatan senjata Oktober lalu, namun Sudan masih dianggap krisis kemanusiaan paling buruk di dunia dengan kebuluran berterusan di beberapa kawasan di Darfur dan Kordofan Selatan.

Skau berkata, pembiayaan WFP merosot hampir 40 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus memberi kesan segera terhadap jumlah kakitangan terutama di Afghanistan dan Yemen selepas pentadbiran Presiden Donald Trump menghentikan semua bantuan makanan kecemasan.

“Kami terpaksa memberhentikan 5,000 kakitangan di Afghanistan. Ia menyebabkan bantuan kepada penduduk berkurang daripada 10 juta kepada hanya dua juta. Penurunan itu amat besar tahun lalu,” katanya.

Lebih 300 juta penduduk dunia berdepan kelaparan akut sebelum AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran Februari lalu, yang mendorong Teheran menutup Selat Hormuz serta sekatan balas Washington ke atas perkapalan Iran.

Sebelum ini, WFP menganggarkan jika harga minyak kekal melebihi AS$100 (RM396) setong, seramai 45 juta lagi penduduk dunia akan menghadapi kekurangan makanan akut.

Perang dan penutupan Selat Hormuz memberi beberapa kesan terhadap krisis makanan global serta keupayaan WFP mengelakkan kematian akibat kebuluran.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN