Perkembangan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia menunjukkan perubahan positif apabila fokus pembelajaran tidak lagi tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata.
Sebaliknya, banyak tadika hari ini lebih mengutamakan pembentukan sahsiah, emosi dan perkembangan menyeluruh kanak-kanak sebagai asas penting sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan formal.
Pakar Perkembangan Awal Kanak-kanak dan Literasi, Zuhairah Ali berkata, antara perubahan paling ketara ialah pendekatan pembelajaran yang kini lebih berpusatkan kanak-kanak berbanding kaedah tradisional yang terlalu bergantung kepada guru.
Kanak-kanak kini diberi ruang untuk bertanya, mencuba sesuatu yang baharu serta berinteraksi secara aktif sepanjang sesi pembelajaran berlangsung.
“Kanak-kanak belajar bukan hanya melalui arahan, tetapi melalui pemerhatian. Sebab itu peranan guru sebagai contoh teladan sangat penting,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zuhairah yang juga Pengarah Tadika Raihan berkata demikian ketika ditemui sempena lawatan 35 delegasi antarabangsa ke tadika berkenaan baru-baru ini bersempena program World Forum Foundation.
Katanya, aspek adab, empati, kawalan emosi dan kemahiran sosial kini semakin diberi perhatian kerana elemen tersebut memainkan peranan penting membentuk keperibadian anak-anak sejak kecil.
Bagi menjayakan agenda itu, penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak turut perlu dikawal secara seimbang agar tidak menjejaskan perkembangan emosi dan sosial mereka.
“Gajet tidak seharusnya menggantikan interaksi, permainan fizikal dan komunikasi secara bersemuka yang sangat penting untuk perkembangan otak serta emosi kanak-kanak, khususnya sejak awal usia hingga enam tahun,” katanya.
Selain itu, pendekatan pembelajaran secara hands-on seperti bermain, bergerak aktif, meneroka persekitaran dan berinteraksi dengan rakan sebaya lebih membantu perkembangan menyeluruh kanak-kanak berbanding pembelajaran pasif di dalam kelas.
Menariknya, delegasi luar negara yang hadir turut melihat kanak-kanak di Malaysia sebagai lebih berani berkomunikasi dan ekspresif, sekali gus menjadi antara kekuatan yang wajar dipelihara dalam sistem pendidikan awal negara.










