KOTA BHARU: Kemelut antara Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini memasuki fasa baharu apabila kerajaan negeri Kelantan tampil menjadi orang tengah bagi merungkai krisis yang menjejaskan hala tuju bola sepak negeri itu sejak hampir dua tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, pertemuan dengan FAM akan diadakan selepas Hari Raya Aidiladha bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung penggantungan KAFA serta mencari jalan penyelesaian terbaik.
Katanya, langkah kerajaan negeri itu dibuat selepas hubungan antara KAFA dan badan induk bola sepak negara berkenaan dilihat semakin renggang sehingga tiada lagi komunikasi antara kedua-dua pihak.
“Kerajaan negeri hanya bertindak sebagai pemudah cara kerana kemelut ini sudah terlalu lama berlarutan dan kedua-dua pihak sudah tidak boleh ‘berpergi-mari’.
“Sebab itu kita tampil sebagai orang tengah demi memastikan masa depan bola sepak Kelantan dapat diselamatkan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Liga Elit DUN (LED) Kelantan 2026 di sini semalam.
Zamakshari memberitahu, pihaknya sudah mengarahkan pegawai khasnya mengutus surat kepada FAM bagi mengatur pertemuan rasmi dan akan membawa bersama Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, Mohd. Arman Zulkifli ke sesi perbincangan tersebut.
Mengulas lanjut, Zamakhshari memberi bayangan bahawa KAFA berdepan risiko lebih besar sekiranya gagal menyelesaikan kemelut berkenaan termasuk kemungkinan badan induk itu terbatal sekiranya terus tidak mendapat pengiktirafan FAM.
Katanya, KAFA perlu akur untuk mengadakan kongres dan pemilihan semula bagi memastikan persatuan itu kembali sah serta mampu bergerak aktif mengendalikan bola sepak negeri.
“Dalam senario terburuk, jika FAM terus enggan mengiktiraf jawatankuasa eksekutif sedia ada, KAFA boleh terbatal.
“Jika itu berlaku, kita mungkin terpaksa menubuhkan persatuan baharu dan mendaftarkannya dengan Pesuruhjaya Sukan,” katanya.-UTUSAN










