PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) meningkatkan operasi penguatkuasaan secara lebih agresif tahun ini apabila melaksanakan 4,785 operasi di seluruh negara setakat 15 Mei lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu membabitkan pemeriksaan terhadap 69,406 individu pelbagai warganegara.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 16,681 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen selain tindakan turut diambil terhadap 737 majikan.
“Semua tahanan ditempatkan di 20 depot imigresen termasuk depot sementara di seluruh negara dengan jumlah tahanan kini melebihi 22,000 orang.
“Daripada jumlah itu juga, seramai 19,700 tahanan telah berjaya dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
“Lima negara tertinggi melibatkan penghantaran pulang ialah Indonesia seramai 7,936 orang, Myanmar (4,005), Bangladesh (2,453), Filipina (1,825) dan Thailand (1,008),” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Tahun 2025 di Putrajaya hari ini.
Katanya, statistik itu membuktikan JIM tidak berkompromi terhadap sebarang pelanggaran Akta Imigresen dan penyalahgunaan pas lawatan serta permit oleh warga asing.
Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata, Program Repatriasi Migran 2.0 yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tahun lalu merekodkan penyertaan seramai 257,443 pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada 112 negara untuk pulang secara sukarela ke negara asal masing-masing.
Menurutnya, warganegara Indonesia mencatatkan angka tertinggi iaitu seramai 111,660 orang, diikuti Bangladesh (49,481) dan Myanmar (33,858), manakala selebihnya melibatkan pelbagai negara lain.
“Program yang dilanjutkan tahun ini berjaya membantu kerajaan mengurus isu PATI secara lebih tersusun selain mengurangkan beban kos operasi penguatkuasaan.
Untuk program ini juga sebenarnya kita berjaya mengutip hasil kepada kerajaan berjumlah RM128.7 juta,” katanya.
Katanya, program ini memberi peluang kepada mereka untuk menyerah diri secara sukarela sebelum dihantar pulang ke negara asal.
Jelasnya lagi, pendekatan itu lebih efektif kerana tindakan penguatkuasaan dan penahanan PATI melibatkan kos lebih tinggi kepada kerajaan, selain peserta program tetap dikenakan kompaun lebih rendah dan disenarai hitam daripada memasuki negara ini semula. – UTUSAN









