PETALING JAYA: Geng Shafik yang aktif menyeludup masuk warga Bangladesh sejak Februari lalu tumpas selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melancarkan operasi khas di sebuah rumah kedai yang dijadikan transit migran, Selasa lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan di kawasan lot kedai itu membawa kepada penahanan sembilan warga Bangladesh dipercayai diseludup masuk ke negara ini baru-baru ini.
Katanya, maklumat awal mendapati imigran-imigran ini telah masuk ke negara jiran sekitar dua hari sebelum diseludup masuk ke Malaysia.
“Pasukan serbuan juga menahan dua lelaki Bangladesh disyaki sebagai ahli sindiket yang berperanan sebagai penyelaras (fasilitator) dan penjaga rumah transit.
“Sindiket menyediakan perkhidmatan membawa masuk warga asing ke dalam negara menggunakan laluan negara ketiga dan masuk secara haram melalui Kelantan. Warga asing terbabit dibawa ke Lembah Klang sebelum dihantar ke destinasi tertentu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Operasi khas bermula pukul 2 petang itu digerakkan Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JIM Putrajaya hasil maklumat dan risikan.
Sindiket ini mengenakan kadar bayaran RM12,000 hingga RM15,000 bagi setiap imigran yang diseludup dan dianggarkan telah mengaut keuntungan sebanyak RM1.6 juta sejak beroperasi.
Zakaria berkata, kesemua tangkapan berumur lingkungan 20 hingga 49 tahun telah ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan dibawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Katanya, JIM akan mengenakan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ATIPSOM 2007 agar kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara. – UTUSAN










