Malaysia Masters: Aaron-Wooi Yik cemas sebelum lolos

Malaysia Masters: Aaron-Wooi Yik cemas sebelum lolos

AARON Chia-Soh Wooi Yik ketika menentang aksi pasangan Singapura, Singapura, Wesley Koh-Kubo Junsuke pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026, di Unifi Arena, Bukit Jalil. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dipaksa bekerja keras sebelum berjaya mengelakkan kejutan pada pusingan pertama Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Turun selaku pilihan utama negara, pasangan ranking kedua dunia itu dikejutkan dengan kekalahan 19-21 pada set pembukaan kepada gandingan Singapura, Wesley Koh-Kubo Junsuke yang tampil berani sejak awal permainan.

Situasi itu seakan memberi amaran awal buat juara dunia 2022 tersebut apabila beberapa kesilapan mudah selain rentak terlalu berhati-hati membolehkan pasangan ranking ke-42 dunia itu menguasai permainan.

Bagaimanapun, sokongan padu penyokong tuan rumah nyata menjadi pembakar semangat buat Aaron-Wooi Yik untuk bangkit pada set kedua.

Pasangan negara itu mula memperkemaskan permainan selain tampil lebih agresif di jaring sebelum mendominasi set kedua 21-10 untuk mengheret aksi ke set penentuan.

Momentum kebangkitan tersebut diteruskan pada set ketiga apabila Aaron-Wooi Yik langsung tidak menoleh ke belakang sebelum menamatkan cabaran pasangan Singapura itu 21-12 dalam tempoh keseluruhan 45 minit.

Kemenangan tersebut menyaksikan juara Asia 2025 itu mara ke pusingan kedua dan bakal berdepan sama ada pasangan Perancis, Julien Maio-William Villeger atau gandingan adik-beradik Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley bagi merebut tiket ke suku akhir.

Sementara itu, cabaran beregu wanita muda negara, Chong Jie Yu-Vanessa Ng berakhir awal selepas tewas kepada pasangan Taiwan, Chen Yan Fei-Sun Liang Ching 16-21, 17-21.

Turut menerima nasib sama ialah satu lagi wakil negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting yang gagal melepasi halangan pasangan Taiwan, Hsieh Yi En-Teng Chun Hsun 15-21, 20-22 dalam masa 39 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN