Jun Hao, Justin perlu cermin diri sendiri

Jun Hao, Justin perlu cermin diri sendiri

Justin Hoh beraksi menentang lawannya dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2026 di Unifi Arena. Justin tewas 16-21, 14-21. - UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kenneth Jonassen meminta Leong Jun Hao serta Justin Hoh cermin diri sendiri mengapa mereka tidak mampu berkembang dan masih terperangkap dengan prestasi buruk dalam setiap kejohanan disertai.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassan berkata, tidak ada nasihat ajaib yang mampu mengubah nasib kedua-dua pemain itu, melainkan mereka perlu bekerja keras setiap kali melangkah ke dalam gelanggang.

“Seperti yang saya katakan, kami (jurulatih) boleh memberi nasihat terbaik, rancangan terbaik, peluang terbaik, tetapi jika anda (pemain) tidak sanggup melabur dalam setiap perkara kecil daripada diri anda sendiri, maka anda tidak akan pergi jauh dan inilah titik di mana pemain mesti melihat ke dalam cermin.

“Tidak guna mengharapkan keajaiban akan berlaku kerana kejayaan hanya hadir dengan kerja keras. Saya boleh menerima kita mungkin ada kelemahan, tetapi, anda boleh membentulkannya atau menjadikan diri anda lebih baik,” katanya selepas Jun Hao dan Justin tersingkir awal pada Malaysia Masters 2026 di sini, kelmarin.

Menurut Kenneth, tidak ada walau satu pukulan yang mampu mengubah nasib pemainnya daripada kedudukan sekarang kepada berkelas dunia kerana proses itu mereka harus lalui untuk satu jangka panjang.

Jelasnya, soalan percaya kepada kebolehan kedua-dua pemain itu tidak timbul kerana sebagai jurulatih, beliau boleh memberikan tunjuk ajar, tetapi terpulang kepada Jun Hao dan Justin untuk menyesuaikan diri dengan cara baharu yang diterapkan.

“Badminton terus maju, jadi anda mesti menyesuaikan diri. Jika tidak mampu melakukan, maka, masa depan adalah suram. Saya rasa kita tidak kalah kerana kurang kemahiran, tetapi, kita kalah kerana kurang disiplin untuk melaksanakan rancangan serta berasa okay apabila keadaan tidak selesa,” ujarnya.

Beliau berkata, gaya permainan yang dimiliki Jun Hao dan Justin kini tidak sesuai dengan permainan moden kerana memberi tekanan sepanjang masa menerusi pukulan bertenaga tidak akan memberi kemenangan kepada mereka.

“Bermain konsisten adalah kunci, meneutralkan pukulan lawan, saya bukan kata bermain secara bertahan, tidak…tetapi kita mesti percaya pada pertahanan kita sekali-sekala. Kita boleh menyerang, tetapi kita tidak boleh menang hanya dengan pukulan serangan sepanjang masa,” katanya.

Kenneth turut menegur tentang disiplin anak-anak buahnya kerana elemen itu merupakan kunci kejayaan kepada mana-mana pemainpun.

“Anda mesti berdisiplin dalam semua aspek, perlu mempunyai perasaan ingin tahu untuk mencari peningkatan walaupun kadarnya hanya lima peratus kerana ini adalah perkara yang membezakan anda daripada pemain di tahap tertinggi, tetapi, ia perlu bermula daripada disiplin,” tegasnya.

Ketika ditanya sama ada masih yakin kepada pemainnya terutama Jun Hao, Kenneth berkata, beliau percaya kepada peluang kedua, tetapi, semua itu perlu berbalik kepada kesediaan untuk berubah, menyesuaikan diri dan mempelajari perkara baharu setiap hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN