Aaron-Wooi Yik mudah ke suku akhir

Aaron-Wooi Yik mudah ke suku akhir

Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 selepas membelasah pasangan Perancis, Julien Maio-William Villeger di Unifi Arena, Bukit Jalil hari ini.

Pasangan ranking kedua dunia itu hanya memerlukan 30 minit untuk menoktahkan kemenangan straight set 21-12, 21-10 sekali gus membalas dendam atas kekalahan kepada pasangan sama pada Terbuka Jerman Februari lalu.

Juara Asia 2025 tersebut nyata tampil jauh lebih agresif dan kemas apabila langsung tidak memberi ruang kepada pasangan Perancis itu untuk mencuri momentum permainan.

Wooi Yik berkata, mereka tampil lebih yakin dan kemas selepas mula menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang sejak aksi pembukaan semalam.

“Berbanding semalam, hari ini kami bermain dengan lebih baik kerana sudah mula memahami keadaan angin dan bola di gelanggang.

“Kami bermain lebih rapi, kurang melakukan kesilapan sendiri dan lebih bersabar ketika mengawal permainan,” kata Wooi Yik kepada pemberita di sini, hari ini.

Kemenangan bergaya tersebut sekali gus mengukuhkan rekod pertemuan memihak Aaron-Wooi Yik kepada 2-1 selain memberi amaran awal bahawa mereka semakin menemui rentak terbaik di gelanggang sendiri.

Aaron pula mengakui sokongan penyokong tuan rumah banyak membantu mereka mempamerkan aksi lebih selesa selain memberi motivasi tambahan untuk memburu slot separuh akhir.

“Kami sebenarnya tidak terlalu memikirkan rekod pertemuan, tetapi bermain di gelanggang sendiri dengan sokongan penyokong memang membuatkan kami lebih selesa.

“Esok kami mungkin bertemu pasangan muda China yang pernah kami tewaskan di Kejohanan Badminton Asia sebelum ini, jadi kami perlu lebih bersedia untuk perlawanan kedua menentang mereka,” katanya.

Pada aksi suku akhir esok, pasangan negara dijadual membuat perhitungan dengan beregu China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi yang menghuni ranking ke-34 dunia.

Sementara itu, pasangan profesional negara, Sze Fei-Izzuddin turut meneruskan aksi cemerlang apabila menundukkan rakan senegara, Chia Wei Jie-Teo Ee Yi 21-14, 21-12 dalam tempoh 29 minit untuk mara ke kelompok lapan terbaik.

Beregu ranking ketujuh dunia itu bakal membuat perhitungan dengan sama ada pasangan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi atau gandingan Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh bagi merebut tiket ke separuh akhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN