Demi Olimpik, Aaron-Wooi Yik kini lebih selektif

Demi Olimpik, Aaron-Wooi Yik kini lebih selektif

AARON Chia-Soh Wooi Yik ketika menentang aksi pasangan Singapura, Singapura, Wesley Koh-Kubo Junsuke pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026, di Unifi Arena, Bukit Jalil. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Memenangi gelaran bukan segala-galanya buat beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang kini lebih bersikap selektif dengan Sukan Olimpik 2028 menjadi fokus utama mereka.

Aaron berkata, pada usia dan tahap di mana mereka berada pada ketika ini, dia dan Wooi Yik perlu bijak menguruskan jadual dengan sasaran hanya menyertai kejohanan-kejohanan besar.

“Saya rasa bukan nak kejar gelaran, sekarang dah nak masuk bulan Jun, tahun depan kelayakan Sukan Olimpik bermula, jadi, untuk umur kami ini fokus patutnya diberi kepada kejohanan besar,” katanya kepada pemberita sewaktu ditemui di Unifi Arena, dekat sini, kelmarin.

Sikap selektif Aaron-Wooi Yik yang telahpun mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua pada Malaysia Masters 2026, kelmarin, dapat difahami kerana usia mereka lagi muda dan mengekalkan ranking itu lebih penting demi temasya terbesar di dunia tersebut.

Kutipan mata di dalam kejohanan utama juga dua kali ganda lebih tinggi berbanding pertandingan yang lebih rendah statusnya, justeru, keputusan Aaron-Wooi Yik itu dibuat tepat pada masanya.

Menurut Aaron, selepas ini, dia dan Wooi Yik akan memberi perhatian kepada Kejohanan Dunia, Sukan Asia dan juga Jejalah Dunia Akhir.

“Memang untuk tahun ini, saya tengok tiga kejohanan inilah yang akan kami beri perhatian lebih,” ujarnya.

Mengulas pula mengenai menjelang pusingan kedua pada Malaysia Masters, hari ini, Aaron berkata, dia tidak bimbang tentang persembahan atau kesilapan yang dilakukan, tetapi, sebaliknya lebih khuatir kepada tindak balas mereka dalam membaca permainan lawan.

“Saya tak rasa kesilapan mengganggu kami, cuma kami sendiri harus segera mendapatkan rentak permainan di dalam gelanggang,” tegasnya.

Pada peringkat 16 terbaik, hari ini, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan pertama itu bakal turun beraksi menentang pasangan Perancis, Julien Maio-William Villeger yang menghuni ranking ke-63 dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN