Juliani tidak akan tinggalkan sukan hoki

Juliani tidak akan tinggalkan sukan hoki

AKSI Juliani ketika bersama skuad kebangsaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEKAS kapten hoki wanita negara, Juliani Mohamad Din tidak akan sesekali meninggalkan sukan hoki yang dicintainya biarpun selepas bersara daripada skuad kebangsaan di penghujung kariernya.

Atlet kelahiran Kota Belud, Sabah itu memberi bayangan untuk terus memegang kayu hoki selepas bersara, namun peranannya berbeza sebagai barisan kejurulatihan.

Pengalaman lebih dua dekad sebagai pemain kebangsaan dan beraksi di pentas antarabangsa akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memastikan pengalaman dimiliki dapat dicurahkan kepada generasi baharu.

“Saya memang berminat untuk terus berada dalam bidang hoki selepas bersara dan bidang kejurulatihan adalah satu peluang untuk saya berkongsi pengalaman dan membantu pembangunan pemain muda.

“Saya akan memberi tumpuan untuk mencurahkan bakti di tempat saya bekerja di Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta untuk pasukan Malaysia pada masa hadapan,” katanya.

JULIANI MOHAMAD DIN

Selaras dengan itu, Juliani sudah sedikit sebanyak mula membiasakan dirinya dengan bidang kejurulatihan sebagai pembantu jurulatih bagi pasukan Terengganu Ladies yang bertanding di Liga Hoki Malaysia (LHM).

Menurutnya, pasukan Terengganu kini memberi penekanan dari segi struktur permainan, konsistensi, dan kerja berpasukan sebagai persiapan mereka bagi menghadapi musim LHM 2026.

“Dengan gabungan pemain kebangsaan dan pemain Sukma Terengganu, saya percaya pasukan mampu memberi saingan yang baik dan menunjukkan peningkatan sepanjang musim”, tambahnya juga.

Dalam pada itu, Juliani berkata, antara perbezaan yang boleh diperhatikan sebagai seorang yang pernah menjadi pemain dan pembantu jurulatih adalah di mana peranan kejurulatihan itu memerlukan perspektif yang lebih luas dari segi perancangan, analisis dan pengurusan pasukan.

“Ia berbeza dengan menjadi seorang pemain di mana mereka lebih fokus kepada prestasi di atas padang dan oleh itu tidak perlu risau tentang perkara-perkara yang selalunya diuruskan oleh jurulatih di kawasan teknikal”, tambahnya juga.

Sementara itu, dengan kerjaya dua belas tahun bersama ATM, Juliani mengakui mengimbangi kehidupan sebagai anggota keselamatan dan kerjaya hokinya adalah satu cabaran tersendiri.

“Seperti saya katakan sebelum ini, saya pernah pergi ke pejabat pada waktu pagi dan kemudian berlatih pada waktu petang, satu rutin yang amat sukar tetapi yang saya anggap sebagai pengorbanan yang perlu untuk seorang atlet”, katanya.

Tambah Juliani, dia juga terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga bagi membolehkan kariernya berkembang seiring dengan peranan besar sebagai kapten skuad kebangsaan.

Oleh sebab itu katanya, dia memilih untuk memberikan fokus dan komitmen sepenuhnya kepada sukan hoki dahulu sebelum mempertimbangkan soal mendirikan rumah tangga.

Pada masa yang sama, Juliani juga memilih mendengar muzik dan meluangkan masa bersama keluarga sebagai aktiviti rehatnya daripada rutin biasanya yang selalu padat.

“Secara umumnya, saya dengar pelbagai jenis lagu dan tidak mempunyai mana-mana genre tertentu sebagai kegemaran peribadi manakala pilihan lagu saya bergantung kepada mood”, jelasnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN