PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Shahrin Sahak menyifatkan baki dua aksi Liga Super menentang Melaka FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC sebagai ujian sebenar buat pasukannya dalam mengejar kedudukan naib juara musim ini.
Katanya, kemenangan dramatik 2-1 ke atas Terengganu FC di Stadium Negeri, kelmarin bukan sahaja menyuntik moral, malah menjadi bukti kemampuan sebenar skuad The Cats untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
Namun, cabaran yang menanti selepas ini jauh lebih getir, apatah lagi pasukan kini berada dalam landasan memburu kedudukan terbaik liga, termasuk peluang ke pentas Asia.
“Ini situasi baharu buat kami. Tekanan itu memang ada, tetapi inilah peluang untuk kami uji tahap sebenar pasukan.
“Kita tidak boleh terlalu selesa. Dua perlawanan terakhir ini akan jadi penentu dan saya jangka ia bukan mudah.
“Kita ambil satu demi satu perlawanan. Tiada jalan mudah, tetapi saya yakin jika kekalkan momentum ini, kita mampu capai sesuatu yang istimewa,” katanya.
Dalam perlawanan menentang Terengganu, Aidil mengakui pasukannya bermula goyah selepas melepaskan gol awal hasil kelemahan mudah di benteng pertahanan.
Namun, beliau memuji reaksi pantas anak buahnya yang bangkit mengawal permainan dan mempamerkan corak bola sepak lebih tersusun serta agresif.
“Kita tidak sepatutnya bolos gol seperti itu. Ia kesilapan asas yang perlu diperbaiki segera.Tetapi saya puji karakter pemain. Mereka tidak panik, sebaliknya bangkit dan menunjukkan kualiti sebenar,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketua jurulatih sementara Terengganu FC, Tengku Hazman Raja Hassan mahu anak buahnya melupakan kekalahan kepada Kuching City dan kembali fokus kepada dua aksi terakhir untuk memburu kelompok lima terbaik liga.
Menurut beliau, kekalahan itu perlu dijadikan pengajaran penting, namun tidak boleh menjejaskan fokus pasukan ketika musim semakin menghampiri penutup.
“Kami perlu lupakan apa yang berlaku dan memberi tumpuan kepada dua perlawanan terakhir. Ia amat penting untuk memastikan kami kekal dalam kelompok lima terbaik,” katanya.-UTUSAN










