Jawatan Presiden Kehormat FAM bakal dimansuhkan?

Jawatan Presiden Kehormat FAM bakal dimansuhkan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan untuk mansuhkan jawatan Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal diusulkan dalam Kongres Luar Biasa badan induk itu yang akan diadakan pada 4 Jun ini.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar apabila turut memaklumkan dia mempunyai dua lagi cadangan yang mahu dipinda dalam badan induk tersebut.

“Ini pandangan peribadi saya sebagai Presiden KLFA yang mana saya mencadangkan agar calon yang mahu bertanding bagi jawatan Presiden FAM mestilah berusia 62 tahun dan ke bawah sebab kita nak calon yang sihat dan cergas.

“Kedua, bagi jawatan selain presiden, calon yang bertanding mestilah hadir daripada ahli gabungan dan bukannya individu entah sesiapa tiba-tiba nak bertanding, kecuali Presiden FAM sebab mungkin ada menteri atau golongan kerabat yang berminat.

“Ketiga, jawatan Presiden Kehormat FAM mestilah dihapuskan sebab apabila kita sudah ada presiden yang baharu nanti buat apa kita nak ada dua nakhoda dalam satu kapal. Nanti pening exco pun tak tahu nak dengar cakap siapa, staf FAM pun pening,” katanya.

Syed Yazid berkata, dia akan mengadakan perbincangan bersama KLFA bagi membincangkan mengenai cadangan tersebut sebelum dibentangkan dalam Kongres Luar Biasa badan induk itu.

“Macam saya katakan, ini pandangan peribadi dan saya akan berbincang mengenainya bersama ahli jawatankuasa KLFA dan selepas itu bersama ahli gabungan yang lain dan seterusnya dibentangkan dalam kongres nanti,” katanya.

Syed Yazid berkata, dia sudah menerima surat pengesahan kehadiran bagi menghadiri kongres tersebut namun masih belum menerima surat agenda.

“Surat agenda biasanya diberikan pada minggu yang sama sebelum kongres diadakan,” katanya.

Sebagai rekod, bekas Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dilantik sebagai Presiden Kehormat FAM pada Jun lalu sebagai penghargaan kepada sumbangannya terhadap pembangunan bola sepak tanah air dan antarabangsa selama lebih 30 tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN