Iran tetap teruskan misi Piala Dunia

Iran tetap teruskan misi Piala Dunia

Pemain bola sepak kebangsaan Iran tiba di Turkiye, semalam sebelum berlepas ke Amerika Syarikat untuk menyertai Piala Dunia 2026. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTALYA: Skuad bola sepak Iran tetap meneruskan persiapan menghadapi Piala Dunia 2026 sejurus tiba di Turkiye semalam bagi menjalani kem latihan pusat serta melengkapkan urusan visa ke Amerika Syarikat (AS).

Seramai 22 pemain bersama barisan kejurulatihan dalam delegasi ‘Team Melli’ tiba di Antalya dengan mengenakan sut latihan berwarna biru gelap sebelum memulakan persiapan intensif menjelang kejohanan terbesar dunia itu.

Kem latihan di pusat peranginan terkenal Turkiye itu dijangka berlangsung beberapa minggu sebelum Iran berlepas ke AS, yang turut menjadi salah satu tuan rumah Piala Dunia 2026 bersama Mexico dan Kanada.

Persiapan Iran bagaimanapun berlangsung dalam suasana penuh ketidaktentuan selepas hubungan negara itu dengan AS kembali tegang susulan siri serangan ketenteraan yang mencetuskan konflik bersama Israel, walaupun gencatan senjata sementara diumumkan sejak 8 April lalu.

Kebimbangan terhadap kemungkinan konflik kembali memuncak turut meningkat apabila rundingan diplomatik masih menemui jalan buntu, selain serangan dron baharu di rantau Teluk dan kenyataan keras Presiden AS, Donald Trump baru-baru ini.

Meskipun berdepan situasi mencabar, Iran tetap merancang persiapan rapi termasuk mengadakan dua aksi persahabatan di Antalya, dengan satu daripadanya dijadual menentang Gambia pada 29 Mei ini.

Ketua jurulatih Iran, Amir Ghalenoei sebelum ini menjelaskan kem di Turkiye turut digunakan bagi melengkapkan proses permohonan visa pemain, memandangkan kedua-dua negara telah memutuskan hubungan diplomatik sejak 1980.

Iran dijadual berpangkalan di Arizona sepanjang kejohanan dan akan mengharungi kesemua aksi peringkat kumpulan di negeri itu selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak cadangan supaya perlawanan mereka dipindahkan ke Mexico atau Kanada atas faktor keselamatan.

Minggu lalu, skuad kebangsaan Iran diraikan dalam majlis pelepasan rasmi di Dataran Enghelab, Tehran dengan kehadiran ribuan penyokong yang mengibarkan bendera negara sebagai tanda sokongan terhadap misi mereka di pentas dunia.

Namun, tidak semua rakyat Iran menyambut baik penyertaan pasukan itu dan seorang pelajar Iran berusia 19 tahun, Sepehr mendakwa terdapat kelompok masyarakat yang melihat skuad kebangsaan itu lebih mewakili kerajaan berbanding suara rakyat biasa.

“Bagi sebahagian besar rakyat Iran, pasukan ini tidak lagi dilihat benar-benar mewakili suara rakyat, sebaliknya dianggap sebagai pasukan milik Republik Islam. Malah, dalam pandangan ramai, ia terus dilabel antara skuad paling tidak disenangi dalam sejarah negara itu.

“Mereka dilihat sanggup menggadaikan sokongan rakyat demi kepentingan wang, kejayaan dan kedudukan,” katanya kepada AFP dari Paris.

Iran mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2026 pada Mac tahun lalu dan meskipun ketegangan politik terus menjadi perhatian, pegawai AS memberi jaminan bahawa pasukan itu tetap dialu-alukan untuk bertanding.

“Biarkan mereka (Iran) bermain,” kata Trump ketika mengulas penyertaan Iran pada penghujung April lalu. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN