TEHERAN: Badan keselamatan tertinggi Iran mengumumkan pada Isnin pembentukan sebuah badan baharu untuk menguruskan Selat Hormuz, yang secara berkesan telah ditutup Teheran dan ymahu mengenakan bayaran kepada kapal untuk melaluinya.
Melalui akaun rasmi X miliknya, Majlis Tertinggi Keselamatan Kebangsaan berkongsi hantaran daripada Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi (PGSA) yang menyatakan badan itu akan menyediakan kemas kini masa nyata mengenai operasi di Selat Hormuz dan perkembangan terkini.
Akaun tentera laut Kor Pengawal Revolusi Islam turut berkongsi hantaran yang sama.
Tidak jelas apakah peranan sebenar badan baharu itu, namun awal bulan ini badan penyiaran berbahasa Inggeris Iran, Press TV berkata, ia merupakan satu sistem untuk melaksanakan kedaulatan ke atas Selat Hormuz.
Ia melaporkan kapal yang melalui selat itu telah dihantar dengan peraturan. Hantaran itu dibuat melalui e-mel [email protected].
Iran sebahagian besarnya telah menyekat perkapalan melalui selat penting itu sejak tercetusnya perang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 28 Februari. Satu gencatan senjata rapuh telah berkuat kuasa sejak 8 April.
Penguasaan Iran ke atas laluan perairan itu telah menggoncang pasaran global dan memberi Teheran pengaruh besar, sementara AS pula mengenakan sekatan lautnya sendiri terhadap pelabuhan Iran.
Dalam keadaan aman, laluan itu menyumbang kira-kira satu perlima penghantaran minyak dan gas asli cecair dunia, selain komoditi penting lain termasuk baja.
Sejak perang bermula, Iran berulang kali menegaskan bahawa trafik maritim melalui selat itu tidak akan kembali kepada keadaan sebelum perang dan bulan lalu, Teheran berkata, ia telah menerima hasil pertama daripada kutipan tol di laluan perairan tersebut.
Pada Sabtu, Ketua Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen Iran, Ebrahim Azizi berkata bahawa Iran telah menyediakan mekanisme profesional untuk mengurus trafik melalui selat itu dan menambah bahawa ia akan didedahkan tidak lama lagi. – AGENSI










