WASHINGTON: Tiga pemimpin dari Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) meminta Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menangguhkan perang ke atas Iran yang sepatutnya disambung semula semalam selepas beliau melancarkan serangan bersama Israel pada 28 Februari lalu.
Ketiga-tiga pemimpin itu yang juga sekutu AS meminta supaya Trump menangguhkan serangan atas alasan rundingan serius kini sedang berlangsung melibatkan Teheran.
Sejak perang bermula, Trump melanjutkan tarikh akhir dan menangguhkan rancangan serangan terhadap Iran sekurang-kurangnya enam kali.
Beliau turut mengumumkan gencatan senjata yang berkuatkuasakan pada 8 April.
Menurut Axios, Trump mengadakan mesyuarat bersama pasukan keselamatan negara di Bilik Situasi, Rumah Putih, Washington DC pada Selasa bagi membincangkan pilihan ketenteraan, menurut dua pegawai AS.
Seorang pegawai kanan AS turut memberitahu Axios pada pagi Isnin, jika Iran tidak mengubah pendiriannya, Washington perlu meneruskan rundingan ‘melalui bom’.
Namun, Trump mendakwa beliau menerima rayuan segera daripada tiga pemimpin Arab supaya tidak meneruskan serangan yang boleh terus menggugat kestabilan rantau itu.
Pendedahan luar biasa itu dibuat menerusi platform Truth Social miliknya, selepas Trump berkata, tentera AS sudah digerakkan sepenuhnya untuk melaksanakan serangan berskala besar..
Trump mengumumkan operasi itu dihentikan selepas Emir Qatar, Tamim Hamad Al Thani; Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman dan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohamed Zayed Al Nahyan, meminta lebih banyak masa bagi memuktamadkan rangka kerja damai serantau yang sedang dirundingkan.
Penangguhan pada saat akhir itu dianggap titik perubahan paling kritikal setakat ini dalam perang yang sudah berlarutan selama 80 hari antara tentera AS, Israel dan Teheran.
“Saya telah diminta oleh Emir Qatar, Putera Mahkota Arab Saudi dan Presiden UAE supaya menangguhkan serangan ketenteraan yang dirancang terhadap Republik Islam Iran, yang dijadualkan semalam.
“Atas rasa hormat saya kepada pemimpin-pemimpin berkenaan, saya telah mengarahkan Setiausaha Perang, Pete Hegseth; Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Daniel Caine dan tentera AS bahawa kami tidak akan melaksanakan serangan yang dijadualkan terhadap Iran, ” katanya.
MINTA AS BERUNDUR
Pengunduran mengejut AS itu berlaku ketika diplomasi sulit sedang giat dijalankan bagi menamatkan permusuhan AS-Iran, membuka semula Selat Hormuz yang strategik dan memulihkan keamanan di Asia Barat.
Menurut laporan, pemimpin Arab berkenaan memberi jaminan kepada Washington bahawa satu perjanjian menyeluruh masih boleh dicapai bagi menstabilkan Asia Barat tanpa pertumpahan darah lanjut.
Trump bagaimanapun menyatakan sebarang kejayaan diplomatik mesti memenuhi objektif keselamatan utama AS yang mencetuskan konflik tersebut.
“Perjanjian ini akan merangkumi, yang paling penting, tiada senjata nuklear untuk Iran!” katanya dan menambah syarat cadangan itu boleh diterima oleh AS.
Sumber kedua pula berkata, Trump memberitahu beberapa sekutu politiknya yang berpendirian keras bahawa tiga pemimpin Arab itu tidak mahu kemudahan minyak dan tenaga mereka dibedil akibat tindak balas Iran.
Trump turut memberitahu wartawan bahawa pemimpin Arab berkenaan meminta beliau menangguhkan serangan itu selama dua atau tiga hari, dan menambah bahawa Israel telah dimaklumkan lebih awal mengenai keputusannya.
Sejak perang tercetus, beliau berulang kali mendakwa terdapat kemajuan ke arah perjanjian damai, namun setakat ini tiada sebarang kejayaan besar dicapai.
Namun, Trump turut memberi amaran tentera AS masih berada dalam keadaan siap siaga penuh.
Beliau berkata, Hegseth dan Caine telah diarahkan supaya bersedia melancarkan serangan penuh berskala besar terhadap Iran pada bila-bila masa sekiranya tiada perjanjian yang boleh diterima dicapai.
Bercakap kepada New York Post tidak lama kemudian, Trump mengulangi pendirian kerasnya dengan mendakwa Teheran kini mahu mencapai penyelesaian lebih daripada sebelumnya kerana mereka tahu apa yang bakal berlaku tidak lama lagi.
CADANGAN
Penangguhan diplomatik itu berlaku serentak dengan cadangan balas baharu dikemukakan kerajaan Iran.
Menurut agensi berita rasmi Iran dan laporan serantau, Teheran secara rasmi menyerahkan set syarat damai yang dipinda kepada Rumah Putih menerusi pengantara Pakistan yang kini bertindak sebagai saluran diplomatik utama.
Perdana Menteri Qatar, Mohammed Abdulrahman Al Thani, turut menyatakan ‘sokongan penuh’ Doha terhadap usaha pengantaraan diketuai Pakistan dan menyatakan semua pihak perlu segera terlibat dalam dialog konstruktif bagi mengekalkan gencatan senjata dan mewujudkan suasana sesuai untuk kemajuannya.
Namun, ketika diplomasi bergerak perlahan, ketegangan terus meningkat.










