Iran dedah senarai tuntutan AS - Utusan Malaysia

Iran dedah senarai tuntutan AS

AS tidak mahu memberikan ganti rugi yang dianggarkan Iran lebih RM1 trilion selepas menyerang negara itu bersama Israel. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran mendedahkan Amerika Syarikat (AS) tidak akan membayar sebarang pampasan dalam perang yang dimulakan oleh AS dan Israel pada 28 Februari lalu yang terkandung dalam lima syarat utama untuk mengadakan rundingan damai. 

Semua syarat yang dikemukakan oleh Washington itu didedahkan oleh agensi berita Fars milik Iran sebagai respons kepada cadangan rundingan oleh  Iran.

Menurut laporan itu, selain tiada sebarang pampasan atau ganti rugi akan dibayar oleh Washington kepada Iran, Teheran diminta menyerahkan dan memindahkan 400 kilogram uranium diperkaya tinggi (HEU) kepada AS.

SYARAT BERAT SEBELAH

Washington juga dilaporkan mahu hanya satu kemudahan nuklear dibenarkan terus beroperasi, selain enggan membayar walaupun 25 peratus daripada aset Iran yang dibekukan. 

Selain itu, penamatan peperangan di semua medan hanya akan dilaksanakan selepas rundingan selesai sepenuhnya.

Sebelum ini, jurucakap kerajaan Iran, Fatemeh Mohajerani dalam wawancara dengan agensi berita Rusia RIA Novosti berkata, anggaran awal menunjukkan negaranya mengalami kerugian kira-kira AS$270 bilion (RM1.07 trilion) sejak bermulanya perang.

Agensi berita Fars turut memetik seorang penganalisis dengan berkata, cadangan AS itu bertujuan supaya matlamat rundingan damai gagal dicapai ketika ancaman tindakan ketenteraan baharu oleh Washington dan Israel.

Media Iran turut melaporkan lima syarat Teheran sebelum sebarang rundingan dapat diteruskan dengan AS.

Syarat-syarat itu ialah:

1.Penamatan perang di semua medan, khususnya di Lubnan

2.Penghapusan sekatan anti-Iran

3.Pelepasan dana Iran yang dibekukan

4.Pampasan bagi kerosakan akibat perang

5.Pengiktirafan kedaulatan Iran ke atas Selat Hormuz

Menurut sumber yang dipetik wartawan Sara Massoumi, Iran menyampaikan pendiriannya kepada pihak Pakistan pada Ahad selepas menerima satu set cadangan melalui pengantara Pakistan.

ANCAMAN

Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump mengancam tidak akan ada apa-apa lagi yang  Iran ada jika tiada perjanjian damai dicapai ketika gencatan senjata rapuh antara kedua-dua pihak terus teruji susulan serangan dron terhadap Riyadh, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Bagi Iran, masa semakin suntuk dan mereka perlu bertindak pantas, atau tiada apa lagi akan tinggal daripada mereka. Masa amat kritikal!” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.

Kedua-dua pihak dilaporkan berkomunikasi menerusi Pakistan sebagai pengantara. Namun, ia masih gagal mencapai perjanjian berkekalan di tengah-tengah gencatan senjata sementara yang tidak stabil.

Arab Saudi melaporkann bahawa ia berjaya memintas tiga dron yang memasuki negara itu dari ruang udara Iraq. Sementara itu,  UAE berkata, sebuah dron mencetuskan kebakaran di Loji Kuasa Nuklear Barakah.

Dron tersebut merupakan satu daripada tiga dron yang memasuki negara itu dari arah sempadan barat.

Anwar Gargash yang merupakan penasihat presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan merujuk kepada Iran dan kumpulan proksi rantau Asia Barat dalam kecaman beliau terhadap serangan itu.

SERANGAN LEBIH DAHSYAT

Jurucakap kanan Angkatan Tentera Iran, Brigedier Jeneral Shahram Iranshahr yang turut dikenali sebagai Sardar Shekarchian dalam laporan Fars dan Tasnim memberi amaran keras terhadap ancaman Trump.

“Pengulangan sebarang tindakan bodoh untuk menutup penghinaan AS dalam perang ketiga yang dipaksakan ke atas Iran hanya akan membawa kepada serangan yang lebih dahsyat dan lebih keras terhadap negara itu.

“Presiden AS yang ‘terdesak’ perlu memahami bahawa jika ancamannya diteruskan dan Iran sekali lagi diserang, aset serta tentera AS yang semakin lemah akan berdepan senario serangan baharu yang mengejutkan bagaikan ribut.

“Ia menjerumuskan negara itu ke dalam ‘perangkap ciptaan sendiri’ akibat dasar agresif Washington,” katanya.

Dalam pada  itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baqaei, menerusi hantaran di platform X menuduh Washington menggunakan doktrin terkenal ‘Goebbels’.

“Pembohongan besar seterusnya yang digunakan untuk menghalalkan perang haram pilihan mereka ialah dakwaan bahawa mereka sedang memelihara keamanan dan kestabilan pasaran tenaga global.

“Hakikat sebenar ialah tindakan perang melulu oleh AS dan Israel telah memusnahkan proses diplomatik yang menjanjikan harapan, selain sengaja mencetuskan ketidakstabilan di laluan tenaga penting melalui serangan ketenteraan tanpa provokasi terhadap Iran.

“Mereka kemudian menuduh Iran sebagai pihak yang mencetuskan ketidakstabilan, melaksanakan doktrin terkenal Goebbels, tuduh pihak lain melakukan apa yang sebenarnya anda sendiri lakukan. Mereka mencipta kemusnahan dan memanggilnya keamanan,” katanya.

Doktrin itu menjadi terkenal selepas Menteri Propaganda Jerman, Joseph Goebbels di bawah pemerintahan Canselor Adof Hitler pernah berkata bahawa jika terus mengulangi pembohongan akhirnya ia akan dipercayai. – AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN