Syarikat bilionair bayar RM1 bilion selesai siasatan sekatan Iran - Utusan Malaysia

Syarikat bilionair bayar RM1 bilion selesai siasatan sekatan Iran

GAUTAM ADANI - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Salah sebuah syarikat milik bilionair industri India, Gautam Adani bersetuju membayar AS$275 juta (RM1.09 bilion) kepada Amerika Syarikat (AS) bagi menyelesaikan siasatan berhubung dakwaan melanggar sekatan Washington terhadap Iran, menurut Jabatan Perbendaharaan AS pada Isnin.

Pejabat Kawalan Aset Luar Negara (OFAC) memaklumkan bahawa perjanjian penyelesaian itu dicapai dengan Adani Enterprises Limited (AEL) yang merupakan sebahagian daripada konglomerat multinasional besar milik usahawan berkenaan.

“AEL bersetuju untuk menyelesaikan potensi liabiliti sivilnya melibatkan 32 pelanggaran nyata terhadap sekatan Iran oleh OFAC,” kata Jabatan Perbendaharaan, merujuk kepada pembelian gas petroleum cecair (LPG) oleh AEL antara November 2023 dan Jun 2025.

Pengumuman itu dibuat hanya beberapa hari selepas Adani bersetuju membayar penyelesaian berasingan sebanyak AS$18 juta (RM71.5 juta) dalam kes mahkamah sivil AS berkaitan rasuah tanpa mengaku bersalah, menurut salah sebuah syarikatnya yang lain.

Dalam kes tersebut, Adani dituduh terlibat dalam rasuah bernilai kira-kira AS$250 juta (RM993.5 juta) untuk menyogok pegawai India demi mendapatkan kontrak pembekalan tenaga solar yang menguntungkan.

Pihak OFAC menjelaskan bahawa siasatan memberi tumpuan kepada import LPG yang diuruskan melalui sebuah pembekal berpangkalan di Dubai, yang mendakwa mengeksport gas dari Oman dan Iraq. Bagaimanapun, terdapat petunjuk jelas yang sepatutnya menyedarkan AEL bahawa bekalan LPG tersebut sebenarnya berasal dari Iran.

Adani Enterprises mengesahkan penyelesaian tersebut dalam satu pemfailan bursa saham pada Isnin, dengan menyatakan bahawa perjanjian itu telah dilaksanakan pada 14 Mei.

Pada hari yang sama, pendakwa raya AS meminta hakim persekutuan untuk menggugurkan pertuduhan jenayah berkaitan rasuah terhadap Adani.

Laporan The New York Times mendedahkan bahawa peguam Adani telah memaklumkan pegawai Jabatan Keadilan pada April lalu bahawa jika pertuduhan digugurkan, bilionair itu sedia melabur AS$10 bilion (RM39.7 bilion) dalam ekonomi AS.

Bagaimanapun, pihak pendakwa raya tidak menyentuh mengenai tawaran tersebut dalam pemfailan ringkas mahkamah, sebaliknya hanya menyatakan mereka memutuskan untuk tidak memperuntukkan sumber lanjut bagi kes berkenaan.

Adani Group merupakan antara empayar perniagaan terbesar di India yang mengendalikan pelbagai sektor peniagaan, bermula daripada pelabuhan dan loji janakuasa sehingga kepada kilang simen serta syarikat media.

Adani, yang juga salah seorang lelaki terkaya di India dan sekutu kuat Perdana Menteri, Narendra Modi, sering kali terpalit dengan dakwaan penipuan korporat dan kejatuhan nilai saham dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN