PETALING JAYA: Pengendali Buriram United, Mark Jackson mengakui kemenangan 1-0 ke atas Selangor FC (SFC) pada final pertama Kejuaraan Kelab Asia Tenggara (ACC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin, tidak perolehi dengan mudah.
Jackson menjelaskan meskipun anak buahnya terpaksa melalui jadual padat namun mereka masih mampu mencatat kemenangan dengan membawa pulang bekalan satu gol menjelang aksi timbal balik di Chang Arena, Rabu depan.
Tegasnya, beliau sudah menjangkakan tentangan sengit daripada Selangor berdasarkan kekuatan dimiliki skuad Gergasi Merah selain faktor keletihan yang menghimpit pemainnya susulan jadual perlawanan yang padat.
“Ya, sudah tentunya saya gembira dengan kemenangan ini. Berjaya menang di gelanggang lawan ditambah pula dengan jadual padat yang kami lalui kebelakangan ini.
“Kami tahu ini akan jadi perlawanan yang sukar kerana lawan kami adalah pasukan yang bagus, tetapi seperti yang saya katakan, juga disebabkan jadual yang kami lalui baru-baru ini dan sepanjang musim,” katanya.
Meskipun berpuas hati dengan keputusan diraih, Jackson enggan terlalu selesa kerana menyedari masih terdapat 90 minit penting menanti pasukannya di Chang Arena sebelum dapat mengesahkan gelaran juara.
“Saya amat berpuas hati dengan persembahan para pemain, terutamanya di babak kedua. Mereka benar-benar bekerja keras dan saya berbangga dengan cara mereka mengakhiri permainan.
“Akan tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, ini baru satu perlawanan, kami ada satu lagi aksi untuk diharungi dan kami perlu fokus serta bersedia menghadapi itu,” ujarnya. – UTUSAN










