LONDON: Arsenal semakin hampir menamatkan kemarau 22 tahun menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Burnley 1-0, semalam bagi melebarkan kelebihan lima mata di puncak liga.
Kai Havertz menjaringkan gol tunggal menerusi tandukan, namun dia bernasib baik apabila terlepas daripada dilayangkan kad merah pada babak kedua yang boleh mengubah hala tuju perebutan kejuaraan.
Skuad kendalian Mikel Arteta boleh dinobatkan sebagai juara EPL lebih awal, sekiranya pencabar terdekat Manchester City gagal menewaskan Bournemouth.
Sekiranya City menamatkan rekod tanpa kalah 16 perlawanan Bournemouth dan menewaskan Aston Villa, Arsenal masih boleh mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan ke atas Crystal Palace pada Ahad ini.
“Tinggal satu lagi, kami sudah melaksanakan tugas kami, apa yang berada dalam tangan kami. Kami perlu tunggu dan lihat apa yang akan berlaku selepas ini dan kemudian bersedia untuk perlawanan menentang Palace.
“Pertama sekali, kami perlu berjuang untuk memenangi perlawanan. Jika mampu mencipta perbezaan dengan jumlah gol yang banyak, itu adalah jauh lebih baik.
“Kami mengharungi aksi yang sangat sukar sebelum ini. Kami berjaya menang dan ia memberikan perasaan yang hebat, tetapi kami sedar bahawa aspek jaringan gol bakal menjadi sangat penting ketika ini,” katanya.
Sejak tewas kepada City bulan lalu, Arsenal tidak melepaskan sebarang gol dalam empat perlawanan liga terakhir mereka.
“Margin kemenangan sepatutnya lebih besar tetapi kami tidak berjaya melakukannya.
“Kami menunjukkan seperti sepanjang musim ini bahawa apabila perlu bertahan dan mengharungi perlawanan, kami mampu melakukannya dengan sangat berkesan,” kata Arteta.
Persiapan Arsenal sedikit terganggu apabila tonggak pertahanan, Ben White disahkan mengalami kecederaan lutut serius yang bukan sahaja menamatkan kempen musim ini, malah memadamkan peluangnya untuk beraksi bersama England di Piala Dunia.
Selain White, Arteta turut mendedahkan kebimbangan terhadap tahap kecergasan bek kanan, Jurrien Timber yang telah tersisih dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Arteta menjelaskan Timber berkemungkinan besar tidak akan beraksi dalam baki saingan liga.
Namun, Arteta tetap menaruh harapan agar pemain antarabangsa Belanda itu sempat pulih menjelang perlawanan akhir Liga Juara Eropah menentang Paris Saint-Germain (PSG) pada 30 Mei ini. – AGENSI/UTUSAN










