LONDON: Arsenal menamatkan penantian 22 tahun untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Manchester City sekadar seri 1-1 dengan Bournemouth, semalam.
City wajib menang untuk mengheret perebutan gelaran ke hari terakhir musim, namun Bournemouth melanjutkan rekod tanpa kalah kepada 17 perlawanan.
Aksi cemerlang Bournemouth itu sekali gus mengesahkan tiket Eropah pertama dalam sejarah kelab berkenaan.
Selepas tiga musim berturut-turut muncul naib juara, skuad kendalian Mikel Arteta akhirnya berjaya merangkul kejuaraan liga selain menamatkan kemarau trofi selama enam tahun.
Arsenal menghampiri gelaran menerusi kemenangan tipis 1-0 ke atas Burnley yang sudah tersingkir kelmarin, untuk membuka kelebihan lima mata di depan City.
The Gunners yang menguasai sebahagian besar musim ini bangkit cemerlang selepas tewas kepada City bulan lalu dengan memenangi empat aksi liga berturut-turut tanpa dibolosi.
Kelmarin, hanya 48 jam selepas melengkapkan kejuaraan berganda domestik menerusi kemenangan ke atas Chelsea pada final Piala FA, City digegarkan dengan laporan Pep Guardiola akan meninggalkan kelab itu selepas sedekad pada hujung musim ini.
Kemenangan di Wembley Sabtu lalu menghadiahkan trofi ke-20 buat Guardiola sepanjang era gemilangnya bersama City.
Bagaimanapun, beliau gagal menambah koleksi enam gelaran EPL apabila Aston Villa bakal menjadi lawan terakhirnya di Etihad, Ahad ini pada aksi yang dijangka menjadi perlawanan terakhirnya sebagai pengendali City.
Guardiola sebelum itu mengakui faktor keletihan mungkin menjejaskan City ketika menentang Bournemouth yang masih memburu slot Liga Juara-Juara musim depan.
Setakat ini Bournemouth sudah mengesahkan tempat ke Liga Europa selepas pasti menamatkan musim sekurang-kurangnya di tangga ketujuh.
Penyokong City melaungkan ‘Setahun lagi, Guardiola’ pada awal permainan di Stadium Vitality dalam usaha memujuk jurulatih itu kekal semusim lagi.
Bournemouth kemudian mengejutkan pelawat apabila Eli Junior Kroupi meledak rembatan lencong menarik ke penjuru atas gol pada minit ke-39 untuk mencipta rekod baharu 13 gol buat pemain remaja dalam musim sulung EPL.
Selepas menang dalam aksi yang dianggap penentu gelaran menentang Arsenal bulan lalu, City kembali menyerahkan nasib kejuaraan kepada pencabar mereka apabila seri 3-3 di Everton.
Guardiola kini dijangka meninggalkan City selepas gagal memenangi liga buat dua musim berturut-turut buat kali pertama dalam karier kejurulatihannya.
Gol penyamaan Erling Haaland pada minit kelima masa kecederaan hadir terlalu lewat untuk menyelamatkan cabaran City. – AGENSI/UTUSAN










