KUALA LUMPUR: Pentas final Malaysia Masters 2026 kini menjadi sasaran beregu negara, Arif Junaidi-Yap Roy King selepas mara ke pentas separuh akhir, semalam.
Beregu No. 4 negara ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan ke-27 dunia, Chen Zhi Yi-Presley Smith dari Amerika Syarikat 21-15, 12-19 pada suku akhir di Unifi Arena.
Pada separuh akhir hari ini, pasangan No.16 dunia itu akan berdepan wakil Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard yang menewaskan beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
Kali terakhir Arif-Roy King bertemu Lundgaard-Vestergaard adalah pada pusingan awal All England, Mac lalu yang menyaksikan mereka menang 19-21, 21-18, 21-18, sekali gus melebarkan rekod kemenangan 4-0.
Arif berkata, jika diberi pilihan, sememangnya Lundgaard-Vestergaard yang dihajati menjadi lawan mereka pada separuh akhir.
“Sudah tentu kami lebih selesa bertemu Denmark, sebab rekod pertemuan dengan Lundgaard-Vestergaard, kami yang pegang. Kalau Hoki- Kobayashi, kita tak pernah menang lagi.
“Tapi apa-apapun boleh terjadi, tambahan pula kita bermain sebagai tuan rumah. Harap ada kejutan esok,” katanya kepada pemberita sewaktu diajukan pertanyaan tentang lawan yang mahu mereka temui.
Walaupun memiliki kelebihan psikologi bertemu Lundgaard-Vestergaard, Arif-Junaidi harus berwaspada memandangkan pasangan Denmark tersebut mengejutkan beregu No. 8 dunia dari Jepun itu 21-18, 21-14 dalam satu lagi suku akhir.
Mengulas mengenai kejayaan mara ke separuh akhir, Arif berkata, pencapaian itu adalah yang terbaik dicatat mereka, tahun ini, selepas kerap tersingkir di peringkat 16 terbaik.
“Alhamdulillah, kita dapat masuk separuh akhir, kalau ikutkan keputusan tahun ini hanya pusingan kedua, suku akhir tak ada langsung. Ini pun dah bulan lima, dah setengah tahun. Jadi benda ini akan buat kita bina balik keyakinan untuk perlawanan seterusnya atau kejohanan akan datang,” katanya.-UTUSAN
ends.
KAPSYEN: AKSI Arif Junaidi-Yap Roy King ketika menentang beregu Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith di suku akhir Masters Malaysia 2026, semalam Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI










