KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik percaya Malaysia masih mempunyai peluang cerah menyaksikan satu lagi ‘perang saudara’ pada final Masters Malaysia Ahad ini biarpun tanpa kehadiran juara bertahan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Wooi Yik berkata, ketiadaan Wei Chong-Kai Wun yang menarik diri akibat kecederaan lutut dialami Wei Chong bukan alasan untuk mengurangkan keyakinan terhadap kekuatan beregu negara dalam kejohanan berstatus Super 500 itu.
“Saya rasa ada peluang untuk final sesama sendiri sebab kita ada banyak pasangan dari Malaysia juga. Daripada BAM sendiri pun ada beberapa pasangan yang bagus, jadi saya rasa peluang itu memang ada,” katanya selepas sesi uji gelanggang di Unifi Arena, selepas.
Tahun lalu, arena badminton negara dihangatkan dengan aksi final sesama wakil Malaysia apabila Wei Chong-Kai Wun menewaskan Aaron-Wooi Yik 21-12, 15-21, 21-16 untuk merangkul gelaran Masters Malaysia 2025 di Unifi Arena.
Bagaimanapun, kecederaan lutut yang masih belum pulih sepenuhnya memaksa Wei Chong-Kai Wun menarik diri daripada edisi kali ini sekali gus membuka ruang kepada pasangan negara lain untuk menyerlah di laman sendiri.
Sebagai pilihan pertama kejohanan, Wooi Yik tetap enggan terlalu memikirkan laluan mudah meskipun diundi menentang pasangan Singapura, Eng Keat Wesley Koh-Junsuke Kubo pada pusingan pertama, hari ini.
Aaron mengingatkan setiap pasangan yang hadir ke Masters Malaysia mempunyai standard tersendiri dan mereka tidak boleh mengambil mudah cabaran yang bakal dihadapi sepanjang kejohanan berlangsung. – UTUSAN
CAPTION
Aaron Chia dan Soh Wooi Yik beraksi dalam sesi penyesuaian gelanggang Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI










