PETALING JAYA: Keputusan menggunakan khidmat pengadil luar negara untuk mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia disifatkan sebagai satu langkah ‘ke belakang’, sekali gus membunuh semangat, emosi dan cita-cita pengadil tempatan.
Bekas pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Subkhiddin Mohd Salleh berkata, tindakan tersebut dianggap sebagai jalan pintas pihak pengurusan untuk mengelakkan kritikan.
Menurutnya, setiap pengadil Liga Malaysia telah mengharungi pelbagai cabaran dan kritikan sejak awal musim dan mempunyai impian untuk mengadili perlawanan kemuncak sama seperti pasukan yang bertanding.
“Tindakan meletakkan pengadil luar di perlawanan akhir membuktikan kita bermasalah dalam pengurusan pengadil. Jika wujud kepincangan, jangan salahkan pengadil, sebaliknya salahkan pihak yang menguruskan mereka.
“Langkah ini juga menimbulkan persoalan mengenai status pelan perancangan F:30 yang bermatlamat melahirkan pengadil profesional. Sepatutnya pada fasa ini, kita sudah boleh berbangga melihat pengadil kita sendiri di pentas akhir,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan akan menggunakan pengadil luar untuk mengadili final Piala Malaysia membabitkan pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City pada 23 Mei ini.
Menurut Subkhiddin, peruntukan besar dalam bentuk mata wang dolar Amerika itu perlu diberikan sebagai ganjaran kepada pengadil tempatan yang mengadili perlawanan akhir.
”Ia pasti menjadi lonjakan motivasi baik untuk mereka mempertingkatkan prestasi,” katanya.
Beliau berkata, perlawanan akhir yang melibatkan dua kelab tempatan tidaklah sekompleks perlawanan peringkat tertinggi di Eropah sehingga memerlukan khidmat kepakaran luar.
“Liga-liga utama dunia seperti di England, Sepanyol, Itali dan Jerman tidak pernah menggunakan khidmat pengadil luar dalam perlawanan domestik mereka.
“Tindakan MFL ini dikhuatiri memberi isyarat buruk kepada badan induk antarabangsa sekali gus memusnahkan harapan pengadil muda negara yang bercita-cita untuk bertugas di pentas Piala Dunia.
“Kita tidak sepatutnya mengagungkan pihak luar sehingga hilang keyakinan pada anak tempatan. Kita bukan lagi di zaman penjajahan yang perlu sentiasa menunduk dan patuh,” ujarnya.
Katanya, menyelesaikan masalah dengan mengimport pengadil luar bukan tindakan seorang pemimpin yang berkaliber tetapi lebih kepada tindakan putus asa dan berunsur politik.
“Pemimpin persatuan perlu berani berhadapan dengan penyokong. Jika pengadil tempatan melakukan kesilapan, jangan berselindung. Hadapilah masyarakat dan jelaskan situasi tersebut dengan telus,” tambahnya. – UTUSAN










