PETALING JAYA: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tampil menyangkal dakwaan kegagalan melunaskan tuntutan elaun pengadil, sebaliknya menegaskan kebajikan ‘hakim padang’ sentiasa menjadi keutamaan badan pengelola itu, sebaliknya Liga Bola Sepak Amatur (AFL) mengambil pendekatan mengunci mulut bagi menjawab isu berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd. Shazli Shaik Mohd. menjelaskan, pihaknya tidak mempunyai sebarang tunggakan hutang dengan mana-mana pengadil memandangkan semua bayaran telah dijelaskan mengikut prosedur baharu yang diperkenalkan musim ini.
Menurut beliau, meskipun terdapat sedikit perbezaan tempoh masa berbanding tahun-tahun sebelum ini, pelaksanaan sistem pembayaran terkini dilihat lebih profesional dan menjamin integriti saingan Liga Malaysia (Liga M).
Jelas Mohd. Shazli, di bawah prosedur baharu, setiap pengadil perlu mengemukakan tuntutan rasmi bersama resit berkaitan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terlebih dahulu sebelum dokumen tersebut diproses oleh MFL.
”MFL tidak berhutang dengan pengadil mahupun penilai pengadil yang bertugas dalam Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Cabaran. Mungkin berlaku sedikit kelewatan disebabkan proses verifikasi, namun kami tidak pernah terlepas daripada melaksanakan tanggungjawab pembayaran.
”Kami telah memaklumkan kepada semua pengadil sejak awal musim bahawa bayaran kini dibuat berasaskan tuntutan. Proses ini mengambil masa beberapa minggu untuk semakan bagi memastikan segalanya mengikut peraturan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Semalam, Utusan Malaysia mendedahkan keluhan segelintir pengadil yang mendakwa terpaksa ‘mengemis’ elaun tugasan melibatkan beberapa kejohanan domestik.
Bagaimanapun, MFL mengesahkan pembayaran terakhir telah dilakukan pada 18 Mac lalu, sekali gus melunaskan semua tuntutan tertunggak di bawah seliaan mereka.
Utusan Malaysia turut menghubungi beberapa pengadil bertugas dan mereka mengakui bahawa telah menerima bayaran sebelum Hari Raya Aidilfitri yang berlangsun pada 21 Mac lalu.
“Alhamdullilah bayaran elaun telah diterima tiga hari sebelum raya,” kata pengadil yang enggan namanya didedah.
Dalam pada itu, nasib berbeza nampaknya menimpa pengadil yang mengadili saingan Liga A1 (Liga Semi-Pro) apabila difahamkan masih ada yang belum menerima bayaran sejak beberapa bulan lalu.
Usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan daripada Liga Bola Sepak Amatur (AFL) setakat ini menemui jalan buntu apabila badan pengelola itu memilih untuk tidak memberi sebarang kenyataan.-UTUSAN










