Peluang pesakit demensia kembali aktif

Peluang pesakit demensia kembali aktif

Irene Ng mengambil pesanan makanan daripada pelanggan di Kafe Forget Me Not.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bayangkan anda masuk ke kedai makan dan sebaik duduk di meja untuk memesan makanan, pelayan kedai berkenaan sebenarnya adalah terdiri daripada penghidap demensia atau nyanyuk.

Inilah senario di Kafe Forget Me Not yang terletak di Megah Rise Mall, Petaling Jaya apabila kru di bahagian penyambut tetamu, mengambil pesanan makanan dan di dapur adalah terdiri daripada 16 individu yang menghidap demensia

Kafe ini bukan saja menawarkan hidangan seperti kafe lain tetapi matlamat sebenar adalah untuk memberi fokus kepada keupayaan yang masih dimiliki oleh individu yang hidup dengan demensia termasuk personaliti, kemahiran dan keupayaan untuk berhubung dengan orang lain.

Ia adalah satu inisiatif komuniti yang dijalankan oleh Persatuan Alzheimer Malaysia (ADFM) dan dicetuskan oleh pasukan Synapse yang terdiri daripada lima pelajar tahun kedua farmasi dari Universiti Monash, bermatlamat untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap demensia,

Pensyarah Farmasi klinikal, Pendidik dan Penyelidik Universiti Monash yang menumpukan kepada pengurusan perubatan dan penjagaan penghidap Demensia, Dinesh Sangarran Ramachandram berkata, usaha itu membuktikan dengan sokongan dan persekitaran yang sesuai, individu yang hidup dengan demensia masih mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.

“Seringkali pesakit nyanyuk atau demensia terpaksa melalui fasa hidup yang semakin hari semakin merosot disebabkan daya ingatan semakin lemah yang turut mengganggu aktiviti harian mereka.

“Akibatnya ramai pesakit terpinggir dan ada yang tersisih daripada keluarga dan lebih menyedihkan hidup mereka terbiar seakan tidak berdaya menjaga kebajikan diri. Lebih menyedihkan ada ahli keluarga tersalah anggap bahawa ia penyakit orang tua yang tiada rawatan untuk mengatasinya,” katanya.

Katanya, Kafe Forget Me Not dibuka selepas perbincangan dengan pihak pusat membeli-belah yang turut merancang untuk menjadikan pusat beli belah berkenaan sebagai pasaraya mesra pesakit demensia.

Pesakit diberikan latihan di pusat latihan yang terletak di dalam pusat membeli-belah berkenaan untuk mengambil pesanan dan menyajikan makanan oleh jurulatih diiktiraf. Mereka yang terbabit adalah pesakit yang masih ditahap sederhana dan berusia sekitar 50 hingga 70 tahun.

Berlatar belakangkan irama muzik lembut yang dimainkan oleh band khas, ia sebagai terapi untuk pesakit dan juga pengunjung kafe berkenaan.

“Konsep dalaman kafe dan susun atur meja dan kerusi juga turut mengambil kira keselesaan pelanggan dan kakitangannya supaya mereka boleh bergerak dengan lebih yakin. Laluan yang jelas dan tidak mengelirukan, pencahayaan yang terang dan konsisten, warna dan tanda juga dibua untuk membantu kakitangan.

Puan Seri Wendy Ong (enam dari kiri) bersama ahli Persatuan Alzheimer Malaysia (ADFM) dan pasukan Synapse dari Universiti Monash pada majlis pembukaan Kafe Forget Me Not di Petaling Jaya, baru-baru ini.

“Buat masa ini, kafe Forget Me Not Cafe hanya dibuka dua minggu sekali sebab kita tidak mahu mereka keletihan dan stress. Kami juga bercadang untuk memperluaskan cawangan di seluruh negara seperti di Ipoh dan Johor Bahru,” katanya.

Dinesh yang juga penerima Geran Anugerah Merdeka pada tahun 2025 akan ke Universiti Sheffield untuk melanjutkan penyelidikannya bagi membantu meningkatkan landskap demensia di Malaysia.

Kembali ke tanah air, Dinesh akan membincangkan langkah untuk membantu pesakit demensia di bandar dan luar bandar. Katanya di luar bandar terutamanya, ramai yang kurang kesedaran mengenai demensia dan menganggap ia penyakit orang tua.

“Demensia menjadi fokus utama kerana negara sedang menuju ke arah penuaan dan isu demensia juga dijangka akan meningkat dalam kalangan warga emas. Jadi, sudah sampai masanya kita perlu membabitkan mereka dalam pelbagai aktiviti seperti ini supaya mereka tidak terpinggir daripada masyarakat.

“Ramai yang takut hendak bawa ahli keluarga yang mengalami demensia keluar rumah. Ini kerana stigma masyarakat yang memandang keadaan itu sebagai sesuatu yang hanya akan membebankan keluarga dan orang ramai,” katanya.

Dinesh turut berkongsi pengalamannya sendiri berdepan neneknya yang mengalami demensia yang menyedihkan tanpa sebarang sokongan.

Ia menyedarkannya untuk membantu golongan pesakit ini. Sebagai cucu, Dinesh sentiasa menemani neneknya sehingga dia terlantar dan membantu memberikannya makanan melalui tiub.

Kebanyakan pesakit mengalami demensia seawal usia 40-an malah ada yang lebih muda iaitu sekitar 30-an. Ini berpunca dari faktor risiko seperti gaya hidup yang stress, diet dan genetik.

“Ramai tidak sedar, sebenarnya penyakit seperti strok, kehilangan pendengaran dan penglihatan juga boleh menyebabkan demensia kerana saraf mata dan telinga turut berkaitan dengan memori otak.

“Kerosakan secara perlahan ke isyarat pada otak ini akan berlaku. Ketika itu, koordinasi untuk mengingat sesuatu juga boleh terganggu dan semakin merosot setiap hari jika tidak dirawat punca sebenarnya,” katanya.

Puan Seri Wendy Ong berkata, konsep kafe berkenaan sesuai untuk individu yang menghidap demensia atau hidup dengan pesakit demensia bagi memastikan golongan ini kekal aktif dan tidak terasing sebagai sebahagian daripada komuniti.

“ADFM juga mengendalikan pusat jagaan harian berhampiran Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak 30 tahun lalu dengan menawarkan pelbagai aktiviti seperti latihan kemahiran melukis,” katanya.

pesakit diberikan latihan untuk mengambil pesanan dan menyajikan makanan oleh jurulatih yang diiktiraf.

Timbalan Presiden Persatuan Untuk Orang Kurang Upaya Akal Selangor dan Wilayah Persekutuan, Tan Sri Hasmah Abdullah berkata, tahap kesedaran orang ramai mengenai demensia khususnya dalam kalangan orang Melayu masih rendah.

“Kebanyakan orang menganggap demensia adalah penyakit berkaitan penuaan dan tiada ubat. Akibatnya ada pesakit yang dikurung dan tidak menerima penjagaan yang baik.

“Pada masa ini, tiada pengkhususan orang yang menjaga pesakit demensia. Jadi, mereka tiada aktiviti dan lebih banyak duduk saja. Bila tiada aktiviti, penyakit akan semakin teruk. Sepatutnya kita cuba mengurangkan kemerosotan akibat penyakit itu dengan menggalakkan pesakit melakukan sebarang aktiviti bermanfaat,” katanya.

Katanya keluarga sebaiknya memberi perhatian kepada pesakit termasuk cuba berinteraksi dengannya tetapi masalahnya golongan muda terutamanya tidak boleh sentiasa bersama mereka setiap waktu kerana perlu bekerja.

Justeru ramai orang Cina menghantar ibubapa mereka ke pusat jagaan tetapi bagi orang Melayu ini mungkin sukar kerana antara puncanya ramai yang kurang berkemampuan untuk tujuan ini.

“Justeru langkah sebaiknya adalah dengan menjalin kerjasama dengan pusat jagaan warga emas yang ada pesakit demensia untuk membabitkan pesakit dalam aktiviti yang dijalankan,” katanya.

Gembira dapat bekerja

Tiada yang lebih menggembirakan pesakit demensia apabila dapat kembali bekerja walaupun tidak sama seperti dahulu. Lebih bermakna adalah mereka dapat bergaul dan berinteraksi dengan orang lain.

Irene Ng, 72, baru saja disahkan mengalami demensia setahun lalu apabila sering hilang ingatan dan ia sedikit sebanyak mengubah kehidupannya yang dulu bebas bergerak ke mana saja.

“Saya seronok apabila anak bawa saya menyertai Kafe Forget Me Not. Ia memang aktiviti yang baik kerana saya berpeluang berinteraksi dengan pelanggan dan rakan-rakan senasib lain.

“Saya juga rasa seronok kerana dengan aktiviti ini, dapat menguji ingatan saya apabila mengambil pesanan daripada pelanggan. Dulu saya bekerja dengan firma audit,” katanya.

Sementara itu, Vanetha Ramiah, 65, disahkan mengalami demensia pada usia 50 tahun iaitu pada tahun 2011 apabila sering terlupa di mana kunci kereta diletakkan atau terlupa nama orang yang dikenali sebelum ini.

“Paling teruk pada masa itu, saya terlupa jalan balik ke rumah. Ketika itu saya masih bekerja sebagai Pentadbir Kanan dan Penolong Perlumbaan di Kelab Lumba Kuda Perak.

“Rupanya pada masa kejadian itu, saya diserang strok mini tanpa saya sedari sehingga lupa ingatan atau mengalami demensia. Akibatnya saya terpaksa berhenti kerja,”katanya.

Vanetha yang juga ibu kepada dua anak dan dua cucu, kini menjalani gaya hidup sihat dengan memastikan bersenam, melakukan yoga dan ke ginnasium. Dia juga menjaga diet sihat dengan mengambil makanan tambahan seperti vitamin C dan minyak ikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN