Hasrat berkumpul adik-beradik sambut Aidiladha tidak kesampaian

Hasrat berkumpul adik-beradik sambut Aidiladha tidak kesampaian

ZURIDI Ngah Abdul Rashid (kanan) menziarahi kubur Norain Ngah Abdul Rashid dan Badrul Hayat Abdul Shukor di Tanah Perkuburan Islam Batu 16 Kampung Tua Lambor Kanan dekat Parit, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: “Hajat untuk berkumpul pada Hari Raya Aidiladha tidak kesempaian apabila adik saya dan suaminya pergi selamanya akibat kemalangan jalan raya.”

Itu kata Zuridi Ngah Abdul Rashid, 44, kakak kepada Norain Ngah Abdul Rashid, 32, yang maut bersama suaminya, Badrul Hayat Abdul Shukor, 31, dalam kemalangan di Parit Sembilan, Labu Kubong menghala ke Kampung Gajah di Teluk Intan, Sabtu lalu.

Pasangan suami isteri itu maut apabila kereta Perodua Myvi mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan ayam sejuk beku.

Zuridi Ngah berkata, dia sangat bersedih namun reda atas kehilangan adiknya itu yang menjaga ibu dan ayah mereka masing-masing berusia 72 tahun yang menghidap strok dan sakit buah pinggang serta uzur.

Katanya, ketika kejadian, Norain dalam perjalanan menghantar suaminya bekerja di Teluk Intan sebagai pemandu lori.

“Kami adik-beradik bercadang sambut hari jadi Norain pada 21 Mei ini dan hendak hadiahkan dia barang kemas, barang solek sebab arwah suka bersolek,” katanya ditemui di rumahnya di Batu 16 Kampung Tua Lambor Kanan di sini.

Menurutnya, mereka juga bercadang untuk berkumpul pada Hari Raya Aidiladha minggu depan selain meraikan ulang tahun kelahiran arwah.

“Saya dan kedua-dua arwah memang suka bergurau, apabila bertemu kami berseloroh, seronok dapat berkumpul beramai-ramai. Sebelum kemalangan, saya menerima video terakhir dan bercakap dengannya menerusi telefon.

“Dia tidak menunjukkan tanda-tanda. Arwah seorang yang ceria dan mereka belum dikurniakan anak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN