Pembantu perancang acara didakwa memandu mabuk

Pembantu perancang acara didakwa memandu mabuk

LOW Kean Peng dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dan melanggar seorang penunggang motosikal sehingga cedera parah di Klang, Selangor, semalam. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang pembantu perancang acara didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol dan melanggar seorang penunggang motosikal sehingga parah pada minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Low Kean Peng, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kenderaan dengan kadar alkohol sebanyak 196 miligram (mg) dalam 100 milimeter (ml) darah.

Jumlah itu melebihi had 146mg alkohol dalam 100ml darah sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada penunggang motosikal, Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27.

Perbuatan itu dilakukan di Persiaran Kota di sini, kira-kira pukul 12.35 pagi, 13 Mei lalu yang mana sabit kesalahan, Kean Peng boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.

Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang tujuh tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Syuhada Rosli yang mengendalikan kes mencadangkan jaminan RM15,000 ke atas tertuduh dengan beberapa syarat tambahan.

“Jaminan tinggi itu mengambil kira faktor keseriusan kesalahan yang menyebabkan kecederaan kepada mangsa. Tertuduh juga perlu menyerahkan lesen memandu kepada mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.

Peguam yang mewakil tertuduh, Ethan Tan memohon jaminan minimum kerana anak guamnya mempunyai tanggungan ibu bapa yang tua dan tiada pendapatan.

“Tertuduh bekerja sebagai pembantu event planner secara sambilan dengan pendapatan antara RM1,800 hingga RM2,000 sebulan. Sebagai penanggung tunggal keluarga, dia menjaga ibunya yang menghidap penyakit kencing manis dan bapanya pula pesakit kanser,” katanya.

Majistret A. Karthiyayini membenarkan tertuduh di­ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, digantung lesen memandu dan perlu me­laporkan diri dua kali setiap bulan di balai polis.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Julai ini.

Khamis lalu, Utusan Malaysia melaporkan seorang penunggang motosikal bertarung nyawa selepas dirempuh seorang pemandu mabuk yang memandu di laluan bertenta­ngan dekat Persiaran Kota. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN