Tikam wanita: Ejen hartanah direman seminggu

Tikam wanita: Ejen hartanah direman seminggu

SUSPEK kes tikam wanita dalam kereta dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar untuk proses reman, semalam. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis menahan seorang ejen hartanah kerana disyaki menikam kenalan wanitanya di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas, di sini malam kelmarin.

Suspek berusia 32 tahun itu ditahan sekitar pukul 1.50 pagi semalam ketika bersembunyi di kawasan masjid di Taman Uda, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, suspek kini direman selama seminggu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Ke­seksaan.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengetahui motif dan senjata atau peralatan digunakan dalam kejadian terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, akhbar ini mela­porkan seorang wanita berusia 35 tahun cedera parah di leher dipercayai akibat ditikam kenalan lelaki dalam kejadian di dalam kereta jenis Mazda, pada pukul 9.19 malam.

Mangsa yang juga ejen hartanah ditikam ketika dia berada tempat duduk pemandu, manakala suspek di tempat duduk penumpang hadapan. Suspek terus melarikan diri selepas kejadian.

Sementara itu, hubungan cinta tidak berbalas hingga menimbulkan perasaan cemburu disyaki menjadi motif kejadian seorang ibu tunggal ditikam di leher oleh kenalan lelakinya dalam kejadian di Titi Gajah, Kepala Batas, di sini, kelmarin.

Kedua-dua mereka yang bekerja dalam bidang hartanah dipercayai mengenali antara satu sama lain sejak lebih setahun lalu dan tiba di pekarangan sebuah restoran di situ beberapa minit sebelum kejadian.

Tindakan mangsa berusia 35 tahun yang membunyikan hon kenderaan sehingga menarik perhatian orang ramai berjaya menyelamatkan wanita itu apabila dibantu petugas sebuah klinik berhampiran yang memberi rawatan awal terhadap kecederaan parah di bahagian lehernya.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, suspek berusia 32 tahun dipercayai menggunakan objek tajam seperti pemecah ais, pemutar skru atau pisau untuk mencederakan wanita terbabit.

“Kita masih mengesan senjata atau objek yang digunakan suspek sehingga menembusi leher mangsa dari arah kiri ke kanan yang ketika itu berada di tempat duduk pemandu, sementara suspek di sebelahnya.

“Setakat ini, kita percaya motif kejadian akibat cemburu atau perasaan tidak berbalas iaitu cinta bertepuk sebelah tangan, namun siasatan lanjut akan dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN