SHAH ALAM: Warga asing terutama dari Eropah yang masuk ke negara ini atas tiket ‘pelancong’ dilihat semakin berani dengan cuba menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai pusat transit dadah apabila sebahagian besar dari 697 kilogram (kg) dirampas di terminal udara itu.
Mereka dikesan masuk menggunakan pas lawatan sosial dan cuba kembali ke benua tersebut untuk membawa sembilan bagasi dipenuhi 254 bungkusan ketulan mampat bunga ganja bernilai kira-kira RM13.85 juta.
Malah, bunga ganja dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan penagih di negara-negara Eropah apabila rampasan pertama yang dilaporkan pada akhir bulan lalu merekodkan 367.4kg bunga ganja dirampas, 30 kg daripadanya bernilai RM2.4 juta dikesan di KLIA.
Kemudian, ia diikuti laporan rampasan kedua pada 8 Mei lalu yang mencatatkan 156.7kg dadah itu bernilai RM12.6 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pada 6, 9 dan 11 Mei lalu menerusi bantuan Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebanyak 172.8kg lagi dadah jenis itu dirampas di Terminal 1 KLIA.
Katanya, menerusi pengesanan bagasi yang melalui mesin pengimbas itu di terminal berkenaan, seramai tujuh suspek warga asing termasuk tiga wanita ditahan dipercayai berperanan dalam rangkaian pengedaran dadah.
“Ketujuh-tujuh suspek dipercayai dari Eropah dan Asia Tenggara masuk ke negara ini sejak akhir bulan lalu menggunakan pas lawatan sosial, namun cuba keluar dengan membawa 254 bungkusan ketulan mampat disyaki bunga ganja.
“Kesemua suspek direman 14 hari di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Dua suspek warga asing lelaki dan wanita masing-masing berusia 30 dan 31 tahun didapati positif dadah selepas ujian saringan air kencing dibuat,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Tambahnya, kesemua suspek berusia 17 hingga 31 tahun itu dipercayai menerima bayaran dalam matawang Euro antara EU3,000 hingga EU5,000 (kira-kira RM13,000 hingga RM23,000).
“Ketiga-tiga kes tidak ada kaitan antara satu sama lain. Mereka dipercayai bertindak sebagai transporter yang mengambil bekalan dadah di negara ini untuk dibawa ke Eropah. Bekalan dadah dipercayai didapati di negara ini dan ada juga yang dibawa masuk dari luar.
“Bagaimanapun polis masih menyiasat lokasi yang dijadikan pusat penyimpanan bekalan atau gudang dan transit kesemua ketulan mampat dadah yang dirampas,” jelasnya. – UTUSAN










