PETALING JAYA:Ringgit dijangka bergerak stabil pada paras RM3.95 minggu ini susulan peningkatan sokongan belian dalam pasaran saham tempatan.
Pada pukul 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9495/9605 berbanding dolar AS daripada 9.480/9520 pada penutup minggu lalu, sebelum mengakhiri dagangan pada 3.9680/9750.
Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, kedudukan ekonomi domestik yang kekal kukuh turut menjadi faktor signifikan dalam menyokong kestabilan nilai mata wang negara.
“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberangsangkan, kadar inflasi yang masih terkawal serta kedudukan Malaysia sebagai pengeksport tenaga utama terus menjadi asas penting kepada kestabilan ekonomi jangka panjang.
“Perkembangan itu dilihat mampu memberi sentimen positif kepada pergerakan ringgit, terutama apabila keyakinan terhadap pasaran domestik terus bertambah baik.
“Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan tekanan inflasi akan meningkat sekiranya kos bahan api kekal tinggi pada paras semasa untuk tempoh yang lebih panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa sama, ujarnya, Bursa Malaysia yang merekodkan penurunan minggu lalu berikutan aktiviti pengambilan untung sementara kini mula menunjukkan petunjuk pemulihan apabila sokongan belian dilihat kembali secara konsisten dalam kalangan pelabur.
Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, ringgit dilihat berpotensi menghampiri paras sekitar RM3.95 berbanding dolar sekiranya beberapa faktor utama terus menyokong trajektori ekonomi negara.
“Pengukuhan ringgit ketika ini bukan bersifat sementara semata-mata, sebaliknya didorong oleh asas ekonomi yang semakin stabil termasuk prestasi perdagangan negara, kawalan inflasi serta sentimen positif pelabur terhadap pasaran sedang pesat membangun.
“Dalam senario semasa, ringgit dilihat berpotensi menghampiri paras sekitar RM3.95 berbanding dolar sekiranya beberapa faktor utama terus menyokong trajektori ekonomi negara.
“Antara faktor yang dilihat mampu memperkukuh ringgit ialah pertumbuhan eksport yang mampan, imbangan perdagangan yang sihat, harga komoditi yang stabil serta dasar monetari yang menyokong keyakinan pelabur,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan, pencapaian paras tersebut masih bergantung kepada perkembangan global terutama hala tuju dasar monetari Amerika Syarikat (AS), kekuatan dolar AS serta ketegangan geopolitik dunia.
“Sekiranya Rizab Persekutuan AS (Fed) mengambil pendekatan lebih ketat menerusi kenaikan kadar faedah atau ekonomi global berdepan ketidaktentuan baharu, pengukuhan ringgit dijangka menjadi lebih mencabar dan berisiko tidak berkekalan,” katanya.
Dari sudut domestik, jelasnya, perbezaan kadar faedah antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan Rizab Persekutuan turut memainkan peranan penting dalam menentukan daya tarikan aset berdenominasi ringgit.
“Pengekalan atau kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh BNM dilihat mampu meningkatkan minat pelabur asing terhadap aset tempatan, sekali gus menyokong aliran masuk modal.
“Selain itu, prestasi sektor eksport khususnya produk elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit, gas asli cecair (LNG) serta petroleum turut menjadi pemangkin utama kepada kekuatan mata wang tempatan memandangkan sektor berkenaan menyumbang besar kepada pendapatan eksport negara,” katanya.-UTUSAN










