KUALA LUMPUR: Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal mencapai sasaran yang diletakkan di bahu mereka selepas terkandas pada separuh akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026, kelmarin.
Ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi berkata, sasaran buat Aaron-Wooi Yik sama seperti tahun lalu iaitu bergelar juara Malaysia Masters tetapi, gandingan No. 2 dunia itu terkandas di separuh akhir.
“Kita harus terimalah, mereka gagal. Keputusan memang tak bagus, keputusan tahun lepas lebih baik kerana kita mara ke final dan Malaysia bertemu Malaysia.
“Cuma untuk Arif Junaidi-Yap Roy King, memang mereka kalah, tetapi dari segi permainan, ada kemajuan dibandingkan tahun lalu. Cara mainnya saya nampak sudah boleh diberikan harapan, cuma keputusan belum ada,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Pengendali kelahiran Indonesia itu diminta mengulas mengenai kekalahan Aaron-Wooi Yik kepada Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, manakala, Arif-Roy King di tangan pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada separuh akhir Malaysia Masters.
Herry berkata, kegagalan Aaron-Wooi Yik mengawal emosi serta tekanan dengan baik telah menjadi punca kekalahan mereka dan dalam masa sama Sze Fei-Izzuddin bermain dengan cemerlang.
“Serba tidak menjadi, daripada pukulan balas ya semuanya. Saya tengok Aaron-Wooi Yik sedikit gementar dan keinginan tinggi hendak menang menjadi sebaliknya.
“Emosi itu boleh nampak, Aaron sampai hempas raket ke permukaan gelanggang. Sze Fei-Izzuddin pula main cukup bagus. Mereka lebih terkawal, lebih seronok dan boleh ambil semua pukulan, Aaron-Wooi Yik pula buat banyak kesilapan,” ujarnya.
Ketika ditanya persiapan menjelang Terbuka Singapura dan Indonesia, Herry menjelaskan, peluang untuk wakil negara memburu gelaran pada kedua-dua kejohanan itu masih ada kerana persaingan beregu lelaki sangat rapat jurangnya.
Justeru, katanya, sesiapa sahaja yang memanfaatkan kesempatan dibantu dengan keadaan fizikal yang bagus, maka, beregu tersebut boleh mendapat gelaran. – UTUSAN










