PETALING JAYA: Skuad pecut trek lelaki negara memasang impian untuk memecahkan rekod kebangsaan apabila turun beraksi dalam saingan Pusingan Akhir Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional Nilai pada 24 April ini.
Gandingan Muhammad Fadhil Zonis bersama Muhammad Ridwan Sahrom dan Mohd Akmal Nazimi Jusena kini hadir dengan keyakinan tinggi selepas memecahkan rekod kebangsaan di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) bulan lalu, meskipun menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat.
Fadhil berkata, beliau bersama rakan sepasukan tekad membawa momentum positif itu ke pentas Piala Dunia, sekali gus memburu catatan masa lebih pantas.
“Apa yang saya tahu sekarang saya akan beraksi dalam pecut berpasukan dan saya akan bawa prestasi daripada ACC ke Piala Dunia nanti serta cuba yang terbaik untuk pecahkan lagi rekod kebangsaan.
“Kita tengok kondisi perlumbaan nanti, mungkin kita boleh pergi lebih laju atau perbaiki lagi apa yang kita dah capai sebelum ini,” kata Fadhil.
Kombinasi trio yang dibentuk sejak tahun lalu itu dilihat semakin serasi dengan peningkatan ketara dari segi transisi, kawalan gear dan pengurusan jarak antara pelumba.
Perkembangan positif itu, sekali gus memberi petunjuk skuad negara berada di landasan tepat untuk mencabar catatan masa lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.
“Kalau ikutkan sasaran, kita nak cuba lepas pusingan pertama dulu dan masuk kelompok lapan terbaik kerana pasukan ini masih baharu, jadi untuk dapat pingat itu mungkin masih jauh tetapi kita akan cuba capai sasaran tersebut,” katanya.
Pada ACC 2026 di Filipina, trio negara itu memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 48.086 saat (s) pada pusingan pertama sekali gus memadam rekod lama 48.458s yang dilakar di Nilai tahun lalu.
Mereka sebelum itu turut mencipta sejarah apabila meraih pingat emas di Sukan SEA 2025 di Thailand dengan catatan 1 minit 00.520s, sekali gus menamatkan penantian 11 tahun selepas memperbaharui rekod lama 1 minit 02.077s milik gandingan legenda Datuk Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Muhammad Edrus Yunus yang dilakukan pada Sukan Asia Incheon 2014.-UTUSAN










