BUKIT MERTAJAM: Kerajaan sedang mengambil langkah segera bagi memperbaiki keadaan pasaran pekerjaan termasuk menyediakan peluang pekerjaan alternatif susulan laporan kira-kira 7,000 pekerjaan hilang pada April lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan tindakan susulan sedang digerakkan bagi memastikan peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan terutama untuk golongan muda.
Menurut beliau, langkah-langkah memperbaiki dan menyediakan pekerjaan alternatif itu akan dilaksanakan menerusi penyelarasan antara pelaburan baharu yang masuk ke negara ini dengan keperluan tenaga kerja semasa.
“Ia (isu laporan 7,000 hilang pekerjaan) telah bawa ke mesyuarat MTEN dan dalam tempoh seminggu dua, saya ambil langkah-langkah memperbaiki dan menyediakan pekerjaan alternatif.
“Sebab ada peluang pekerjaan baharu dan kita harus salurkan supaya ada sinergi di antara pelaburan baharu yang masuk, terutama di Pantai Barat, di Perak, Pulau Pinang, Kulim Hi-Tech (Kedah), Selangor, Negeri Sembilan dan Johor,” katanya selepas Majlis Agihan Perdana Lembu Korban Madani Parlimen Permatang Pauh di Mengkuang Titi di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai laporan media hari ini bahawa seramai 7,057 pekerja kehilangan pekerjaan pada April lalu, meningkat 21 peratus berbanding 5,855 kes pada Mac.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan turut melihat perkembangan pelaburan baharu di Sarawak yang dijangka mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, sektor teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi antara bidang utama yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan.
“Sekarang ini tentunya tentang IT, AI, yang bidang baharu. Jadi kalau ada keperluan, kita berikan latihan khas untuk membolehkan anak-anak ini masuk ke jurusan bidang pekerjaan baharu,” ujarnya.
Mengulas sama ada situasi kehilangan pekerjaan itu membimbangkan, beliau berkata keadaan masih terkawal, namun, kerajaan memahami kesan besar yang ditanggung setiap keluarga terlibat.
“Setakat ini belum merisaukan. Tetapi, kalau lihat dari segi kiraan mula, setiap kehilangan pekerjaan bagi seorang dalam keluarga dia itu tentunya merunsingkan. Jadi, kita cuba menanganinya dengan sebaik mungkin,” katanya. – UTUSAN










