BANDAR GAZA: Pegawai kesihatan Gaza berkata satu serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya lima orang dan mencederakan beberapa lagi pada Selasa.
Mereka maut dalam insiden keganasan terbaharu yang melanda wilayah itu walaupun gencatan senjata antara Israel dan Hamas masih berkuat kuasa.
Gaza terus dilanda keganasan harian, dengan kedua-dua tentera Israel dan Hamas saling menuduh melanggar perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober tahun lalu.
“Lima syahid dan beberapa mangsa cedera dipindahkan ke hospital selepas satu serangan udara Israel menyasarkan sekumpulan penduduk di timur Al-Maghazi,” kata agensi pertahanan awam yang berfungsi sebagai perkhidmatan penyelamat di bawah Hamas.
Hospital Al-Aqsa Martyrs dan satu sumber keselamatan Palestin mengesahkan insiden serta jumlah korban itu.
Tentera Israel berkata, ia sedang menyemak laporan tersebut.
Gencatan senjata telah berkuat kuasa di Gaza sejak Oktober tahun lalu, namun Israel menegaskan ia berhak menyerang sasaran yang dianggap mengancam keselamatan.
Sekurang-kurangnya 904 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata itu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang berada di bawah pentadbiran Hamas dan angka yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu..
Tentera Israel pula berkata, lima tenteranya turut terbunuh dalam tempoh yang sama.
Sekatan media dan akses terhad di Gaza menghalang AFP daripada mengesahkan secara bebas angka korban atau membuat liputan bebas mengenai pertempuran di wilayah itu. – AFP










