PETALING JAYA: Kelab Liga Malaysia (Liga M) perlu meningkatkan kualiti pasukan bagi mengelak terus bergantung kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengumpul mata di peringkat Asia.
Pencapaian JDT di pentas Asia terus mencuri tumpuan apabila menjadi antara pasukan terbaik di rantau ini dengan menduduki kelompok 10 terbaik Asia serta unggul di kedudukan pertama Asia Tenggara berdasarkan ranking terkini Opta Analyst.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim menegaskan kejayaan JDT wajar dijadikan contoh tetapi bukan alasan untuk kelab lain terus bergantung harap.
“Pertama sekali, tahniah kepada JDT kerana kita sudah lama tidak melihat kejayaan sebegini daripada kelab tempatan. Tetapi kita tidak boleh biarkan JDT seorang sahaja menguasai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zulakbal menegaskan, kelab-kelab lain perlu bangkit dengan iltizam dan kesungguhan untuk menyaingi pencapaian tersebut, termasuk membina visi serta kepimpinan yang jelas seperti dimiliki Harimau Selatan.
“Pemimpin kelab lain perlu ada ‘passion’, visi dan misi. Kena ada pelan strategik yang betul, belajar daripada JDT. Bukan sekadar tengok, tetapi kena faham bagaimana mereka dibangunkan,” jelasnya.
Beliau turut menekankan aspek pengurusan moden termasuk model kewangan, penajaan, perbelanjaan berhemah dan tadbir urus yang lebih profesional sebagai kunci kebangkitan kelab lain.
“Bola sepak ini bukan sekadar permainan, tetapi alat perpaduan. Jadi ia perlu dimajukan dengan perancangan rapi dan semangat untuk melawan,” katanya lagi.
Mengulas dakwaan mengapa kelab lain masih gagal menyamai standard JDT, Zulakbal berpandangan masalah utama terletak pada sikap dan mentaliti pengurusan.
“Bola sepak di Malaysia sudah lama, tetapi mentaliti kita masih di takuk lama. Soalan bukan lagi sampai bila JDT nak bawa mata Asia, tetapi bila kita nak mula berubah,” tegasnya.
Beliau turut merujuk beberapa kelab seperti Kuching City FC yang masih dalam fasa pembangunan, namun sudah menunjukkan potensi untuk bersaing jika ada kesungguhan berterusan.-UTUSAN










