STOCKHOLM: Robert Lewandowski memberi bayangan masa depannya di pentas antarabangsa bakal berakhir selepas gagal membawa Poland ke ke Piala Dunia 2026.
Penyerang berusia 37 tahun itu nyata kecewa apabila Poland tewas 2-3 kepada Sweden dalam aksi playoff, sekali gus menyaksikan penantian negara berterusan.
Beberapa jam selepas kekalahan tersebut, Lewandowski memuat naik gambar meninggalkan padang di media sosial, diiringi lagu “Time to Say Goodbye” nyanyian Sarah Brightman dan Andrea Bocelli, mencetuskan spekulasi mengenai persaraannya.
Kegagalan itu turut menyaksikan bintang Barcelona berkenaan berdepan kemungkinan menamatkan karier antarabangsa tanpa beraksi di pentas final Piala Dunia yang diidamkan sepanjang kerjayanya.
Bagaimanapun, Lewandowski menegaskan belum bersedia membuat keputusan muktamad berhubung masa depannya bersama skuad kebangsaan.
“Saya tidak berada dalam kedudukan untuk membuat sebarang pengisytiharan. Saya akan kembali ke kelab dan masih ada beberapa perlawanan perlu diharungi. Saya perlu menjawab sendiri persoalan dalam fikiran saya,” katanya kepada media Poland.
Sejak melakukan penampilan sulung pada 2008, Lewandowski muncul tonggak utama Poland dan dilantik sebagai kapten pada 2014.
Beliau kekal sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman negara itu dengan 89 gol daripada 165 penampilan antarabangsa.
Dengan Piala Dunia seterusnya hanya akan berlangsung dalam tempoh empat tahun lagi, situasi semasa dilihat menjadi titik penting buat legenda kelahiran Warsaw itu dalam mempertimbangkan langkah seterusnya.
“Saya tidak takut untuk menamatkan kerjaya. Saya sudah mula bersedia untuknya. Bola sepak adalah bahagian penting dalam hidup saya, tetapi ia bukan segalanya,” katanya.- AGENSI










