Pengusaha stesen minyak tertekan, terpaksa keluar modal subsidi diesel negara

Pengusaha stesen minyak tertekan, terpaksa keluar modal subsidi diesel negara

NORSYAHRIN HAMIDON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengusaha stesen minyak terpaksa menjadi ‘bank senyap’ kepada sistem subsidi diesel negara apabila perlu mendahulukan modal sendiri yang besar bagi memastikan bekalan bahan api terus tersedia di pam.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Norsyahrin Hamidon berkata, pihaknya menerima aduan daripada Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera (BUMIPEDA) berhubung tekanan kewangan yang semakin membebankan susulan kenaikan harga diesel serta mekanisme pembayaran subsidi yang tertangguh.

Katanya, walaupun transaksi jualan diesel kepada pengguna dianggap selesai secara digital di pam, bayaran sebenar termasuk komponen subsidi hanya diterima kemudian, sama ada tertunda atau lebih lama.

“Keadaan ini menyebabkan pengusaha terpaksa menanggung jurang masa antara jualan dan penerimaan tunai, sekali gus mengunci modal kerja mereka dalam sistem subsidi berkenaan.

“Dalam situasi harga diesel yang tinggi dan jumlah jualan yang besar, kelewatan pembayaran boleh mencecah ratusan ribu ringgit pada satu-satu masa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, di bawah skim subsidi bersasar diesel, pengusaha perlu membeli bahan api pada harga pasaran penuh sekitar RM6.02 seliter, namun menjual kepada pengguna pada harga subsidi RM2.15 seliter.

Katanya, perbezaan sebanyak RM3.87 seliter itu tidak dibayar terus kepada pengusaha, sebaliknya dituntut oleh syarikat minyak daripada kerajaan, sekali gus mewujudkan realiti di mana pengusaha secara efektif mendahulukan pembiayaan subsidi menggunakan modal sendiri.

“Berdasarkan anggaran jualan 20,000 liter sehari dan keperluan stok minimum selama tiga hari, pengusaha perlu menyediakan sekitar RM361,200 bagi mengekalkan stok asas operasi.

“Pada masa sama, jurang subsidi itu menyebabkan mereka terpaksa mendahulukan kira-kira RM77,400 sehari, menjadikan keseluruhan pendedahan modal operasi hampir RM440,000,” katanya.

Norsyahrin berkata, kementerian terlibat perlu segera memperbetulkan struktur pembelian dan mekanisme pembayaran semula modal agar pengusaha tidak terus terbeban sebagai pembiaya tidak rasmi kepada sistem subsidi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN