PETALING JAYA: Lonjakan harga minyak mentah global sehingga AS$120 (AS$1 = RM4.02) setong bukan hanya dipacu oleh faktor permintaan dan bekalan, sebaliknya turut dipengaruhi geopolitik, kos penghantaran serta premium insurans.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, sejak konflik Asia Barat tercetus sejak 28 Februari lalu, harga minyak mentah meningkat 40 peratus, manakala kos pengangkutan melonjak antara 47 hingga 176 peratus dan premium insurans naik sehingga 337 peratus.
Katanya, Selat Hormuz merupakan laluan kritikal yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak global serta sebahagian besar minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia setiap hari.
“Gangguan di laluan ini memberi kesan langsung kepada ekonomi global. Tiada pihak yang terlindung sepenuhnya daripada impaknya,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif Khas: Mendepani Cabaran Krisis Tenaga Global yang disiarkan di TV1, Radio Televisyen Malaysia, malam ini.
Tengku Muhammad Taufik berkata, sebelum konflik tercetus, lebih 30 peratus bekalan helium dunia yang merupakan hasil sampingan pemprosesan gas, selain 30 peratus bekalan baja global termasuk urea, potash, ammonia dan fosfat turut melalui Selat Hormuz.
“Selain itu, laluan alternatif penghantaran minyak melalui Fujairah dan Yanbu di Asia Barat juga terjejas, sekali gus menyumbang kepada peningkatan harga minyak mentah.
“Penyedia perkhidmatan pengangkutan minyak mentah berdepan risiko tinggi, manakala premium insurans meningkat berikutan laluan melalui zon konflik atau kawasan berisiko,” katanya.
Menurut beliau, harga minyak mentah yang dilaporkan ketika ini hanya mencerminkan keadaan pasaran semasa dan bukan harga sebenar yang perlu ditanggung pengguna.
“Ini kerana kos pembelian daripada pengeluar perlu ditambah dengan kos penghantaran, insurans dan pengangkutan, selain kos logistik apabila tiba di destinasi.
“Bagi penghantaran fizikal, harga mungkin mencecah AS$100 setong, namun boleh meningkat lagi sebanyak AS$10 hingga AS$15 sebelum sampai untuk tujuan pemprosesan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia masih mempunyai mekanisme harga yang mampu melindungi rakyat daripada kenaikan mendadak susulan pelaksanaan subsidi bersasar.
“Dengan subsidi bersasar, dalam tempoh terdekat dan dengan usaha menstabilkan bekalan, harga dapat dikawal bagi melindungi rakyat daripada lonjakan.
“Ini juga membolehkan Petronas serta pemain industri lain terus beroperasi dan memenuhi permintaan,” katanya. – UTUSAN










