Jadikan FAM entiti perniagaan

Jadikan FAM entiti perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Individu yang berhasrat menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disaran menjadikan badan induk itu sebagai sebuah entiti perniagaan bagi memastikan ia lebih berfokus kepada aspek keuntungan, tadbir urus profesional serta tidak terperangkap dengan politik dalaman.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, pendekatan tersebut penting supaya presiden baharu FAM mampu mengurus persatuan dengan lebih berkesan, bukan sahaja untuk skuad kebangsaan, malah melibatkan pasukan remaja serta pengukuhan kewangan persatuan.

Zulakbal berkata, pemilihan calon tidak wajar dihadkan kepada golongan tertentu, sebaliknya perlu dibuka kepada semua latar belakang termasuk ahli perniagaan, politik dan tokoh korporat.

“Ahli gabungan perlu memikirkan individu yang boleh memimpin FAM ke arah lebih baik. Kena ada ilmu dan berkaliber dan paling penting, terbukti berkesan. Contoh kalau ahli perniagaan, dia mestilah seorang yang berjaya.

“Jika calon itu tidak mempunyai latar belakang bola sepak tidak mengapa yang penting calon itu terbuka untuk menerima cadangan, teguran daripada ahli gabungan dalam memajukan bola sepak negara.

“Apabila memilih calon yang mahu menjadikan FAM sebagai entiti perniagaan calon itu tidak ada masa untuk bermain politik sebab dia akan fikir macam mana nak majukan bola sepak,” katanya.

Dalam pada itu, Zulakbal menasihatkan ahli gabungan FAM supaya tidak terus berada di takuk lama dan memberi ruang kepada individu berkelayakan untuk menerajui badan induk itu.

“Nasihat kepada ahli gabungan agar mereka tidak bertindak di takuk yang sama. Beri peluang kepada individu yang berkelayakan dan kurangkan berpolitik,” katanya.

Kongres pemilihan FAM akan dibuat selepas proses ‘reform’ atau pembaikan keseluruhan pentadbiran FAM selesai dilaksanakan sepenuhnya dengan bantuan pasukan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN